SHAH ALAM - Tiada ancaman tsunami di Malaysia susulan kejadian letusan gunung berapi di dasar laut perairan Tonga, Tokyo pada Sabtu.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, ia dibuat berdasarkan pemantauan berterusan, semakan bacaan tolok pasang surut dan boya antarabangsa serta tempatan dan maklumat laman sesawang Regional Tsunami Service Providers (RSTP).
"MetMalaysia sentiasa memantau secara berterusan perkembangan kejadian ini dan akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
"Sila dapatkan maklumat gempa bumi dan amaran tsunami terkini melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi Met Malaysia dan di talian hotline 1-300-22-1638,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Pada Sabtu, media melaporkan penduduk Tonga melarikan diri ke tempat lebih tinggi dalam ketakutan selepas letusan gunung berapi kuat yang turut kedengaran di negara jirannya, mencetuskan tsunami kedua di kawasan itu.
Biro Meteorologi Australia dalam satu ciapan di Twitter berkata, gelombang tsunami setinggi 1.2 meter sudah diperhatikan di Nuku'alofa.
Gelombang tsunami tertinggi yang direkodkan berikutan letusan itu pada Sabtu ialah 30 sentimeter (cm).
Letusan terbaru gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai berlaku hanya beberapa jam selepas amaran tsunami ditarik balik semalam.