KUALA NERANG - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerima 2,044 permohonan dan semakan kelayakan baik pulih dan bina rumah baharu pasca banjir di seluruh negara setakat 9 Januari lalu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jumlah tersebut membabitkan 1,879 permohonan baik pulih dan 165 permohonan bina rumah baharu di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia dengan kos lebih RM38.5 juta.
Menurutnya, jumlah permohonan tersebut dijangka meningkat kerana KPLB masih lagi menerima data yang disalurkan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah yang terlibat dengan banjir.
"PKOB akan kemukakan (data-data permohonan baik pulih rumah dan bina rumah baharu) kepada urusetia dan kita tunggu. Mana-mana maklumat yang telah kita ada kita jalan (baik pulih dan bina baharu).
"Yang seriusnya di Pahang, Selangor, Negeri Sembilan. Kita juga ada menerima maklumat dari Kelantan, Terengganu dan terbaru dan masih lagi menguruskan banjir adalah Johor, Sabah dan Melaka," katanya pada sidang akhbar di Pusat Komuniti Masyarakat Padang Kerasak, Naka pada Ahad.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Perasmian Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan Naka.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, senarai yang dikemukakan oleh PKOB akan diperakukan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM).
Menurutnya, sebanyak RM150 juta diperuntukkan setakat ini oleh KPLB untuk tujuan baik pulih dan bina baharu rumah serta membaiki kemudahan di luar bandar yang rosak akibat bencana banjir.
"Sebanyak RM50 juta disediakan bagi tujuan tersebut iaitu RM15,000 untuk kerja pembaikan rumah dan RM56,000 bina baharu di semenanjung manakala RM68,000 bina baharu di Sabah dan Sarawak.
"RM50 juta juga disediakan untuk membaiki jalan kampung yang rosak teruk dan manakala RM50 juta lagi untuk masjid, surau, longkang luar bandar, tanah perkuburan dan beberapa lagi kemudahan yang rosak," ujarnya.
Jelasnya, tempoh baik pulih rumah yang diberikan kepada kontraktor untuk menyiapkannya adalah selama kira-kira 20 hari manakala bagi pembinaan rumah baharu adalah selama empat hingga enam bulan.