Nombor plat 'fancy' saman paling banyak

Iklan
Polis tahan dua lelaki dalam Op Samseng Jalanan di dua lokasi berasingan di Jalan Persiaran Senawang 1 dan Jalan Rasah pada Sabtu malam. - Foto JSPT NS

SEREMBAN - Penggunaan nombor pendaftaran kenderaan 'fancy' antara saman yang tinggi dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan dalam Op Samseng Jalanan di dua lokasi berasingan di Jalan Persiaran Senawang 1 dan Jalan Rasah, dekat sini, pada Sabtu malam.

Ketua JSPT Negeri Sembilan, Superintenden Shafiei Muhammad berkata, sebanyak 254 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi berkenaan dan 73 daripadanya merupakan nombor pendaftaran kenderaan 'fancy'.

Iklan
Iklan

"Kesalahan lain termasuk tiada lesen memandu, cermin sisi dan ekzos tidak mengikut peraturan yang melibatkan 132 motosikal diperiksa sepanjang operasi yang bermula jam 11 malam.

"Selain itu, dua individu ditahan di lokasi berasingan kerana mereka melakukan kesalahan termasuk menunggang secara melulu dan berbahaya selain kesalahan menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Menurut beliau, Skuad 42 JSPT Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan berjaya menahan seorang lelaki berusia 19 tahun yang menunggang motosikal dengan melakukan aksi 'wheelie' di lampu isyarat hadapan pasar raya Giant, Senawang.

"Sementara itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban menahan seorang lelaki berumur 26 tahun kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu serta tidak dapat memberi keterangan yang memuaskan di Jalan Rasah.

Iklan

"Kesemua individu yang ditahan dibawa ke IPD Seremban untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 108(3)(f) APJ 1987 dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955," katanya.