KOTA BHARU - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan pelbagai jenayah rentas sempadan dan aktiviti penyeludupan antara Malaysia -Thailand di negeri ini membabitkan nilai rampasan hampir RM5 juta melalui Op Benteng Covid-19.
Operasi sebulan yang berakhir 16 Januari (Ahad) membabitkan 101 kes dan tangkapan seramai 125 individu.
Pegawai Pemerintah PGA 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, pelbagai jenis dadah bernilai RM5,300 turut dirampas selain hidupan liar atau eksotik bernilai RM13,855, haiwan ternakan (RM708,300) dan barangan kawalan bersubsidi iaitu tepung, minyak masak dan petrol (RM 33,077).
Menurut beliau, barangan lain yang dirampas ialah kontraban pakaian, vape (RM2,483,835) dan beras (RM304,000) serta kes penyeludupan migran atau tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Walaupun terjejas banjir, operasi tetap dilaksanakan menerusi serbuan di stor dan premis yang dijadikan transit pengumpulan barangan seludup termasuk rokok, dadah, senjata api dan barangan kawalan,” katanya melalui kenyataan pada Ahad.
Azhari sebelum itu menghadiri Majlis Serah Tugas Op Benteng Covid antara beliau dan Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Superintendan Mannadzar Nasib yang disaksikan oleh Timbalan Komander Briged Tenggara PGA Asisten Komisioner Sanudin Md Isa.
Menurut Azhari, pasukannya mengenal pasti modus operandi ataupun trend penyeludup membabitkan penyeludupan PATI yang dikesan melakukan kegiatan itu pada tengah hari dan Maghrib.
"Mereka beranggapan petugas akan berehat untuk makan dan solat namun taktik berjaya ditumpaskan melalui penguatkuasaan di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Lalang Pepuyu dan Banggol Kong, Pasir Mas.
"Penyeludupan beras pula dilakukan menggunakan kenderaan jenis lori yang membawa pasir bagi mengaburi pihak penguat kuasa tetapi PGA dapat mematahkan jenayah itu dan merampas 65.5 tan dianggarkan bernilai RM 262,176 dan menahan tujuh lelaki,” katanya.
Tambah beliau, fokus utama PGA ialah mencegah dan membanteras penyeludupan jenayah rentas sempadan dengan menggunakan strategi operasi berbeza serta terancang.