SHAH ALAM - Pembangkang mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam ke atas dua masjid di Christchurch, New Zealand, hari ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, insiden yang berlaku ketika umat Islam bersedia untuk menunaikan solat Jumaat itu merupakan perkara menyedihkan dan menggemparkan masyarakat dunia.
Iklan
Iklan
"Jika benar objektif serangan merupakan dendam dan perkauman keagamaan maka kita merasakan ianya sebagai alasan yang tidak boleh diterima akal kita sebagai rakyat yang menikmati keamanan dan kemakmuran di sebuah negara seperti Malaysia.
"Apa jua alasan serangan itu, kita mengutuk sekeras-kerasnya di samping mengharapkan keadaan saudara Islam kita di New Zealand dan rakyat Malaysia khususnya berada dalam keadaan yang terkawal dan selamat.
"Sama-sama kita mendoakan keselamatan mereka," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, serangan ke atas dua masjid di Christchurch itu telah mengorbankan 49 mangsa, manakala puluhan lagi cedera termasuk beberapa rakyat Malaysia.
Insiden tembakan itu dilaporkan berlaku pada jam 1.40 tengah hari waktu tempatan (8.40 pagi waktu Malaysia).