JERANTUT - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyasarkan pelaksanaan projek Wakaf Air diperluaskan lagi sehingga ke Sabah dan Sarawak pada tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setakat ini terdapat 20 lokasi di Sabah dan 20 di Sarawak disenaraikan di bawah projek tersebut.
Menurutnya, pemeriksaan akan dilakukan terlebih dahulu sebelum ia dibawa ke jawatankuasa untuk dilaksanakan.
"Cuma Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini menyebabkan prosesnya terhenti tapi tahun ini ia boleh dipercepatkan," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Felda Sungai Retang di sini pada Ahad.
Beliau ditemui sempena lawatan ke projek Wakaf Air di Felda tersebut.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin; Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris dan Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan) KASA, Datuk Mohd Rodzwan Baba Sakri.
Ujar Tuan Ibrahim lagi, kementerian telah melaksanakan lebih 30 projek Wakaf Air di beberapa negeri antaranya di Pahang dan Kelantan sejak ia dilancarkan pada 17 Disember 2020.
"Dana terkumpul setakat ini sudah lebih RM3 juta dan untuk tahun ini, kita memutuskan untuk membelanjakan RM2 juta bagi melaksanakan projek Wakaf Air termasuk di Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, beliau memberitahu, sebanyak lima projek Wakaf Air telah siap dilaksanakan di Jerantut iaitu Kampung Batu Balak, Kampung Tanah Pindah, Kampung Belukar serta Jalan Temalian dan Jalan Jengkuar di Felda Sungai Retang, Jerantut, Pahang.
"Projek yang menelan kos RM248,175 ini memberikan manfaat kepada sebanyak 139 buah rumah melibatkan anggaran seramai 615 penduduk," jelasnya.