Remaja orang asli maut motosikal dirempuh bas

Iklan
Keadaan motosikal mangsa dan bas yang terbabit kemalangan di Kilometer 10 Jalan Sungai Koyan-Raub pada Ahad.

LIPIS- Seorang remaja orang asli maut manakala rakannya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka dilanggar sebuah bas ekspres di Kilometer 10, Jalan Sungai Koyan-Raub di sini pada petang Ahad.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3.25 petang itu, penunggang motosikal, Myhkel Ali, 18, dari Pos Sinderut di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng, John Kamarudin, 11, cedera pada kaki dan tangan.

Iklan
Iklan

Pemandu bas berusia 36 tahun dan pemandu kedua, 27 tahun bersama 17 penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika bas terbabit dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke Kuala Lumpur manakala mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Pos Sinderut dari Sungai Koyan di sini.

Iklan

"Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu bas dipercayai gagal mengelak dan terlanggar belakang motosikal mangsa yang hendak masuk ke simpang Pos Sinderut.

"Akibat kejadian penunggang yang mengalami kecederaan parah pada kepala dan dada disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Azli berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan.

"Hasil ujian saringan air kencing ke atas pemandu bas mendapati lelaki itu bebas pengaruh dadah.

"Semua penumpang dipindahkan ke bas lain untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur," katanya.

Tambah beliau, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.