SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad meminta agar pihak Tabung Haji (TH) segera menyelesaikan isu tidak membenarkan petugasnya memakai songkok atau kopiah ketika bertugas.
Menurutnya, hasil menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, memorandum yang dikeluarkan oleh pengurusan hotel berkenaan adalah tanpa maklum balas.
"Lepas balik daripada solat Isyak dapat maklumat mengenai memorandum TH Hotel Kelana Jaya. Terus hubungi Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin, ini respon kepada saya.
"Memo dikeluarkan oleh pengurus hotel tanpa maklum balas. Tiada masalah sebenarnya, asalkan bersih, kemas, selamat, tertib, menutup aurat dan seragam.
"Saya minta Ketua Pegawai Eksekutif segera selesaikan isu ini,” kata Idris dalam satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.
Menurut memorandum yang dikeluarkan oleh Pengurus TH Hotel Kelana Jaya, Mohamad Nazrul Nazib Nasihin, semua anggota TH Kelana Jaya diminta untuk tidak memakai songkok atau kopiah ketika bertugas.
Tambahnya, songkok dan kopiah boleh dipakai apabila ingin menunaikan solat.
Selain itu, menurut beliau, anggota juga diminta untuk berpakaian kemas termasuk pemakaian kasut yang bertutup dan menjaga kebersihan diri sepanjang bertugas.