SETIU - Kaedah pembuatan yang rumit selain berdepan risiko terkena duri menyebabkan setiap tikar hasil anyaman daripada daun pandan laut atau nama saintifiknya pandanus tectorius mempunyai kualiti tersendiri dan mampu bertahan antara 20 hingga 40 tahun.
Wan Fatimah Wan Abdul Rahman, 62, dari Kampung Gong Batu, di sini berkata, daun pokok pandan laut atau turut digelar mengkuang duri atau mengkuang laut mempunyai nilai komersial yang tinggi.
Katanya, terdapat tiga jenis anyaman yang dihasilkan iaitu anyaman kasar yang dijual pada harga RM8, anyaman halus (RM20) dan anyaman paling halus (RM30) bagi setiap 0.3 meter tikar yang dihasilkan.
"Makin halus anyaman, makin mahal harganya. Bagi anyaman kasar, proses anyaman bermula daripada daun yang telah dibelah mengikut saiz standard.
"Bagi anyaman halus pula, daun yang telah siap dibelah akan dibelah dua untuk mendapatkan saiz yang bersesuaian. Manakala daun yang telah dibelah dua tadi akan dibelah sekali lagi untuk menghasilkan anyaman paling halus.
"Biasanya anyaman halus hanya bersaiz 0.6m x 0.6m sahaja kerana mengambil masa selama 20 hari untuk disiapkan untuk pembuatan tas tangan. Anyaman ini tidak berbaloi untuk dibuat tikar kerana terlalu halus," katanya.
Wan Fatimah atau lebih mesra digelar sebagai Nek Lang mula menganyam tikar ketika berusia 15 tahun, dia kini satu-satunya individu yang mahir serta mewarisi kepakaran bagi anyaman halus.
Katanya, seorang lagi rakannya, Che Teh Ambak, 66, turut berkecimpung dan mahir dalam penghasilan anyaman kasar tikar pandan laut.
"Saya mahir anyaman selepas mengikuti kursus oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) ketika berusia 15 tahun dan proses belajar anyaman tikar ini tidak pernah berhenti sehingga sekarang.
"Saya juga pernah diminta mengajar proses ini melalui bentuk kursus namun tak ramai yang betul-betul mahir dan menunjukkan minat mendalam," katanya yang memperoleh bekalan daun pandan laut yang ditanam di belakang kediamannya.
Biarpun kedua-dua tangannya luka akibat 'dimakan' duri, Wan Fatimah masih mampu tersenyum setiap kali menyiapkan tempahan pelanggan.
Katanya, proses menghasilkan sebidang tikar biasanya memakan masa sehingga satu minggu dengan empat bidang tikar berjaya dihasilkan sebulan bergantung kepada masa yang digunakan bagi menyiapkan anyaman.
"Proses menghasilkan tikar bermula daripada mencantas pokok untuk diambil daun sebelum proses membuang duri daripada daun.
"Ia kemudiannya akan ditumbuk dahulu sebelum direbus. Selepas itu direndam selama dua malam dan di jemur di tengah panas untuk dikeringkan. Tikar yang telah kering akan dicelup dengan pewarna khas sebelum dikeringkan dan dianyam mengikut corak yang ditempah pelanggan," katanya.
Katanya, corak tapak berbam, bunga bakul, bunga mata bilis, bakul besar serta bunga mata biawak mendapat permintaan tinggi.
Wan Fatimah berkata, setakat ini hasil anyamannya dibeli pelanggan dari seluruh negara serta pernah mendapat tempahan daripada pelanggan dari Patani, Thailand.
"Setakat ini saya pernah hasilkan lima bidang tikar paling besar dan paling mahal berukuran 10.97m x 1.82 m berharga RM1,080. Sebidang tikar ini mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan.
"Tikar saiz besar pertama dihasilkan sekitar lima tahun lalu dan yang terbaharu ditempah pelanggan dari Kuala Terengganu tahun lalu," katanya.
Wan Fatimah yang mempunyai 8 anak serta tiga orang cucu turut dibantu suaminya, Wan Musa Wan Ali, 72.
Wan Fatimah berkata, hanya seorang anaknya, Wan Norsyima Ayuni, 16, menunjukkan minat terhadap seni itu.
"Walaupun belum lagi mahir dalam anyaman halus, anak saya boleh menganyam bagi anyaman kasar dan sering menolong saya menyiapkan tempahan pelanggan.
"Saya harap dia boleh mewarisi seni anyaman ini seterusnya mampu memartabatkan seni halus tradisional ini supaya tidak ditelan zaman," katanya.