Kebakaran tapak lupus sampah: Majoriti penduduk akur pindah

Iklan
Siti Samsiah sedang mengemas pakaian sebagai persiapan berpindah sementara ke rumah saudaranya.
NIBONG TEBAL - Majoriti penduduk di sekitar Kampung Kebun Baru dan Kampung Ladang Byram akur berpindah selepas arahan pemindahan dikeluarkan susulan kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini.

Peniaga kek, Siti Samsiah Abd Hassan, 34, berkata, dia dan keluarganya akan berpindah ke rumah saudara berdekatan selepas pihak berkuasa memaklumkan udara di kawasan kediamannya tidak selamat.

"Semasa mula-mula terbakar, tak ada bau apa-apa tetapi sejak Ahad, kami mula terbau asap. Selain itu, jika berada di luar rumah, mata berasa pedih selain akan terbatuk.

Iklan
Iklan

"Oleh demikian, saya termasuk suami, anak, ibu dan beberapa ahli keluarga lain yang tinggal serumah akan berpindah ke rumah saudara kami berdekatan untuk keselamatan.

"Kami akur kerana faham dengan arahan yang dikeluarkan, ia untuk kebaikan bersama," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini pada Isnin.

Iklan

Dia yang tinggal di situ sejak dilahirkan berkata, kejadian berkenaan merupakan yang terburuk sehingga arahan berpindah dikeluarkan.

"Kejadian kebakaran berlaku beberapa kali sebelum ini tetapi tidak seteruk seperti kali ini. Kali ini paling teruk sehingga kami perlu berpindah," katanya.

Iklan

Sementara itu, Siti Hajar Hashim, 54, berkata, dia akur dengan arahan tersebut demi keselamatan keluarganya.

Bagaimanapun katanya, demi memastikan rumahnya selamat, dia akan bergilir-gilir dengan suaminya untuk pulang ke rumah untuk pemeriksaan.

"Anak-anak lain sudah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Saujana Indah dan hari ini, saya bersama seorang lagi anak baru nak pergi.

"Suami saya masih di rumah, namun kami akan bergilir-gilir ke PPS kerana bimbang dengan keadaan rumah," katanya.

Bagaimanapun seorang lagi penduduk, Mohamad Hafiz Abdullah, 31, enggan dipindahkan ke PPS kerana pihak berkuasa tidak mengeluarkan sebarang surat rasmi memaklumkan arahan pemindahan itu.

"Saya memerlukan surat rasmi itu supaya saya boleh memaklumkan kepada majikan bahawa saya adalah mangsa yang terjejas dalam kejadian ini.

"Saya juga mahu pihak berkuasa memastikan rumah saya dilindungi apabila saya diminta keluar dan tinggal di tempat lain," katanya.

Muhammad Hafiz yang bekerja sebagai pekerja kilang berkata, dia bagaimanapun tidak akan berpindah ke PPS sebaliknya akan tinggal sementara di rumah kakaknya di Simpang Empat jika surat rasmi dikeluarkan nanti.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kebun Baru, Nor Syakila Abdullah, 48, berkata, masih ada yang masih enggan berpindah namun usaha memujuk sedang dijalankan.

Nor Syakila (kanan) bertanya sesuatu kepada Siti Hajar mengenai pemindahan sementara ke PPS.

Menurutnya, sehingga kini, 18 keluarga sudah bersedia untuk berpindah ke lokasi lebih selamat.

"Jumlah keseluruhan rumah di kampung ini adalah 36 rumah melibatkan 115 orang. Sebelum jam 8 malam hari ini (Isnin), kesemua mereka akan berpindah sementara ke PPS dan rumah keluarga.

"Hanya ada segelintir yang belum setuju untuk keluar, dengan alasan risau dengan keadaan rumah, tiada yang tolong menjaga tanaman serta haiwan ternakan mereka.

"Jika mereka masih enggan, kita terpaksa meminta mereka menandatangani surat mengakui akan menanggung sendiri sekiranya berlaku perkara tidak diingini," katanya.