Rayuan Khairy, saman fitnah Anwar diputuskan pada 7 Februari

Iklan
Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Februari untuk memutuskan rayuan Khairy bagi mencabar saman fitnah Anwar. - foto BERNAMA

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan telah menetapkan 7 Februari untuk memutuskan rayuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi mencabar saman fitnah, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya berhubung kenyataan beliau mengenai perlakuan tidak bermoral, 14 tahun lepas.

Tarikh itu ditetapkan oleh panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk Darryl Goon Siew Chye dan Datuk Ghazali Cha dalam prosiding yang berlangsung secara maya pada Isnin.

Iklan
Iklan

"Terima kasih kepada kedua-dua pihak yang telah mengemukakan hujahan bertulis dan lisan kepada mahkamah. Kami memerlukan masa untuk meneliti perkara ini," kata Swee Seng selepas mendengar hujah peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Khairy dan Datuk Seri Gopal Sri Ram bagi pihak Anwar.

Panel itu turut menetapkan 24 Januari untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis mengenai kos.

Iklan

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), menyaman Khairy, yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan serta Naib Ketua Pemuda UMNO pada 7 Mac 2008 mendakwa Khairy membuat kenyataan memfitnahnya dalam ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari tahun sama dan menyebabkan klip video bertajuk ‘Anwar and kin no threat’ disiarkan di portal berita.

Pada September 2017, Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan membenarkan saman Anwar terhadap Khairy dan memerintahkan beliau membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am kepada Anwar.

Iklan

Hakim itu turut menolak permohonan Khairy untuk meminda penyataan pembelaannya bagi menyatakan bahawa kenyataan beliau adalah komen yang wajar.

Khairy kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi namun pada Februari 2018, Mahkamah Rayuan membatalkannya selepas membenarkan permohonan Anwar.

Pada 15 Disember tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Khairy agar merit kes itu didengar sepenuhnya di Mahkamah Rayuan.

Sri Ram sebelum itu berhujah perkataan yang diucapkan oleh Khairy membawa maksud memfitnah terhadap Anwar

"Dalam hal ini, adalah penting untuk diingat bahawa perkataan atau kenyataan yang dikompelin oleh Anwar ialah: ‘Anwar main dua-dua ikut belakang.’

"Dalam pengertian Bahasa Melayu yang biasa dan difahami oleh rakyat Malaysia (sama ada beliau Melayu atau tidak) perkataan itu merujuk kepada hanya satu perlakuan iaitu, dalam konteks ia diucapkan, homoseksualiti,” kata Sri Ram.

Beliau juga berkata aduan Anwar dalam kes ini hanya berkaitan dengan satu pertuduhan iaitu Anwar didakwa sebagai seorang homoseksual atau berkecenderungan untuk melakukan perbuatan sedemikian.

Pada prosiding sebelum ini iaitu 2 November 2021, Muhammad Shafee berhujah ucapan Khairy semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 adalah merujuk kepada gabungan atau kerjasama antara parti pembangkang bagi menghadapi pilihan raya itu dan tidak mempunyai kaitan dengan kes liwat Anwar.

Beliau juga berhujah Khairy bercakap mengenai gabungan atau kerjasama antara parti pembangkang iaitu Pas, PKR dan DAP semata-mata bagi tujuan menghadapi pilihan raya. - Bernama