JAKARTA - Ibu kota baharu Indonesia di Kalimantan Timur akan dinamakan sebagai Nusantara.
Pengumuman itu dibuat Menteri Perancangan Pembangunan Nasional, Suharso Monoarfa pada Isnin sambil menjelaskan pemilihan nama itu yang bermaksud kepulauan telah diluluskan Presiden Joko Widodo atau Jokowi.
"Saya sudah mendapat pengesahan dan arahan secara terus daripada beliau pada Jumaat lalu," ujarnya ketika mesyuarat bersama jawatankuasa khas untuk penubuhan ibu kota baharu menggantikan Jakarta itu.
Menurutnya, nama Nusantara dipilih kerana ia sudah lama dikenali dan ikonik di peringkat antarabangsa.
"Ia lebih ringkas dan jelas menggambarkan Republik Indonesia. Saya percaya kita semua bersetuju dengan nama Nusantara," jelasnya lagi sambil menambah mereka masih belum memutuskan sama ada ibu kota baharu tersebut akan menjadi wilayah atau sebuah bandar.
Difahamkan, projek pembinaan ibu kota baharu yang menelan kos 466 trilion rupiah (RM134 bilion) itu pada mulanya dijadualkan bermula pada 2020, namun terpaksa ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.
Perbincangan tentang pembangunan ibu kota baharu itu bagaimanapun disambung semula pada tahun lalu yang turut melantik pengukir terkenal Bali, Nyoman Nuarta sebagai pereka Istana Negara.
Menerusi akaun Instagram milik Nyoman pada awal bulan lalu, beliau memaklumkan Jokowi telah memberi lampu hijau terhadap reka bentuk akhir yang diinspirasikan daripada burung mitologi Garuda yang menjadi simbol negara itu.
Parlimen dijangka meluluskan rang undang-undang (RUU) ibu kota baharu tersebut pada bulan ini bagi membolehkan projek pembinaan dilakukan dan pemindahan bermula pada 2024. - Agensi
INFO
>Pada 2019, Jokowi mengumumkan ibu kota negara itu akan berpindah daripada bandar besar Jakarta ke kabupaten terpencil Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara di wilayah Kalimantan Timur.
>Langkah pemindahan ibu kota itu dianggap perlu untuk menyelamatkan Jakarta yang berdepan kesesakan teruk dan didakwa berisiko tenggelam. Selain itu, ia juga bertujuan untuk membangunkan Kalimantan dan bahagian timur Indonesia berikutan kebanyakan aktiviti ekonomi berpusat di Jawa.