KUALA SELANGOR - Jenazah wanita yang maut akibat dipenggal kepala menggunakan parang oleh anaknya selamat dikebumikan pada Isnin.
Jenazah wanita berusia 56 tahun itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang pada jam 5.20 petang.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan itu sejurus jenazah dikebumikan dengan kehadiran puluhan ahli keluarga dan kenalan terdekat.
Bagaimanapun, ahli keluarga Allahyarhamah tidak membenarkan pihak media merakam sebarang gambar pengebumian jenazah.
Sebelum itu, van membawa jenazah tiba dari Hospital Sungai Buloh untuk disembahyangkan di Surau An Nur Kampung Batu Pasir Penambang kira-kira jam 4 petang.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan, seorang wanita maut dipercayai dipenggal kepala oleh anaknya dalam kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang di sini pada Sabtu.
Suspek yang berusia 28 tahun itu dikatakan membunuh mangsa ketika berada di ruang tamu berikutan terdapat kesan darah di sekitarnya.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian disedari oleh salah seorang daripada anak mangsa yang pergi ke kediaman berkenaan selepas beberapa kali gagal menghubungi mangsa.
Suspek yang berusia 28 tahun itu dikatakan membunuh mangsa ketika berada di ruang tamu berikutan terdapat kesan darah di sekitarnya.
Polis turut menemui parang yang disyaki digunakan untuk memenggal kepala mangsa dalam tandas rumah tersebut.