MESKI sedar kehidupan sebagai ibu tunggal penuh dengan cabaran, Isma AF tetap positif dengan apa yang dilaluinya dan meneruskan kehidupannya bersama anak-anak seperti biasa.
Menurut Isma, biarpun perkahwinan yang dibina bersama komposer dan penyanyi Zul 2by2 telah berakhir lebih setahun lalu, hubungan mereka masih baik demi anak-anak.
Apatah lagi Zul juga tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai bapa dan sentiasa sepakat dalam hal yang melibatkan anak-anak.
"Alhamdulillah kehidupan saya dan anak-anak dalam berjalan seperti biasa dan dalam keadaan yang baik. Saya anggap apa yang berlaku sebagai takdir dan sudah lama move on dengan apa yang berlaku sebelum ini.
"Ketika masih bergelar suami isteri, kami memang tak ada masalah besar dan mereka yang dekat tahu bagaimana hubungan saya dan bekas suami. Namun kami harus akur jodoh tak panjang untuk terus bersama.
"Apa sebabnya, biarlah kami berdua sahaja yang tahu dan tak perlu dikongsi sehingga mengaibkan diri masing-masing. Bagi saya mudah sahaja, ini ketentuan hidup kita dan kita laluilah dengan sebaiknya,” ujar Isma kepada Sinar Harian.
Hasil perkongsian hidup Isma dan bekas suami, mereka dikurniakan lima cahaya mata iaitu Muhammad Haiqal Aiman, 20, Muhammad Haiqal Aydiel, 19, Seri Aida Merlissa, 17, Seri Ayreen Merlynda, 15, dan Seri Adryana Mercella, 11.
Berkongsi cabaran menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal kata kakak kepada penyanyi Tomok ini, dia kini lebih berdikari berbanding sebelumnya.
"Pada awalnya memang agak kekok sedikit kerana semua benda kita kena lakukan sendiri sedangkan sebelum ini ia dikongsi dengan bekas suami.
"Mungkin saya sedikit bernasib baik kerana ada pendapatan sendiri, kerja OK dan mempunyai keluarga yang sentiasa menyokong. Jadi taklah struggle sangat untuk berdepan dengan semua ini.
"Cuma saya kini lebih banyak berdikari dan perlu lebih bijak menguruskan kewangan demi kepentingan dan keperluan anak-anak,” luahnya.
Menurut Isma selepas berpisah, dia dan bekas suami hanya berjumpa sekali sahaja dalam tempoh tersebut atas permintaan anak sulungnya yang ketika itu meraikan sambutan hari jadinya tahun lalu.
Selebihnya dia dan bekas suami hanya berhubungan menerusi aplikasi whatsapp ataupun panggilan telefon jika perlu.
Ditanya tentang pengganti, kata Isma, buat masa ini dia langsung tidak terfikirkan tentang perkara tersebut kerana mahu memberi tumpuan kepada anak-anak.
"Saya tidak kisah untuk berkawan, tetapi jika ada yang cuba tunjukkan minat saya sebolehnya cuba elakkan.
"Bagi saya mungkin belum masanya lagi kerana fokus saya pada anak-anak dan banyak benda yang perlu saya dahulukan ketika ini,” tegasnya yang ditemui di majlis sidang media Konsert Amal Lagenda 80an di Istana Budaya pada Khamis.