KUALA TERENGGANU - Bengang tanaman pisang sering dicuri, seorang pemilik kebun sanggup membelasah pencuri pisang sehingga mati, dalam kejadian di Kampung Tebakang, Marang, petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, lelaki berusia 38 tahun itu merupakan antara tiga suspek yang diberkas bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki yang mayatnya ditemui tertiarap.
Jelasnya, turut ditahan anak saudaranya yang berusia 15 tahun dan seorang lelaki berusia 37 tahun yang juga rakan kepada mangsa ( si mati).
"Kesemua mereka ditahan sekitar jam 5 hingga 11 malam tadi di sekitar Bukit Payong, Marang, selain merampas beberapa barang kes termasuk sebatang besi dan pisang dipercayai dicuri si mati.
"Siasatan awal mendapati lelaki itu yang juga merupakan suspek utama membelasah si mati, 42, dengan objek keras selepas mengesyaki si mati merupakan individu bertanggungjawab dengan kehilangan pisang di kebunnya selama ini.
"Akibat gagal mengawal emosi amarahnya selama ini, suspek utama ini mengambil tindakan melulu dan disyaki menyebabkan kematian mangsa," katanya pada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, hari ini.
Fazlisyam berkata, hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati ketiga-tiga suspek yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine.
"Malah, suspek utama juga didapati memiliki beberapa rekod jenayah lampau termasuk kesalahan menceroboh.
"Kesemua mereka kini direman selama lima hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
Sementara itu, Fazlisyam turut mengingatkan kepada masyarakat agar jangan sesekali mengambil tindakan sendiri terhadap apa jua situasi kerana negara kita mempunyai undang-undang.
"Sepatutnya masyarakat melaporkan apa jua kejadian kepada pihak polis dan biarlah kami (polis) yang akan mengambil tindakan selanjutnya," katanya.
Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki ditemui mati di belakang rumah seorang penduduk dipercayai seorang peniaga pisang di Kampung Tebakang, Bukit Payong, Marang.
Dalam kejadian kira kira jam 4.30 petang, lelaki itu ditemui dalam keadaan tertiarap namun punca kematian masih lagi belum dapat dikenal pasti.
Terdahulu tular di laman sosial mengatakan mangsa terbabit dibelasah kerana mencuri pisang.