SHAH ALAM - Wasiyyah Shoppe Berhad, syarikat amanah patuh syariah swasta terbesar di Malaysia mencatatkan keuntungan tertinggi pada 2020/2021 dengan peningkatan sebanyak 61 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin berkata, peningkatan tersebut menjadikan pendapatan syarikat itu adalah sebanyak RM20.3 juta berbanding RM12.4 juta pada tahun sebelumnya.
Menurut beliau, bagi pendapatan sebelum cukai pula, ia turut menunjukkan peningkatan sebanyak 271 peratus iaitu dari RM 954,682 kepada RM3.03 juta.
"Sebagai pelopor kaedah hibah dan penyedia hibah terbanyak di Malaysia, hibah 65 peratus disumbangkan dari pendapatan syarikat dan dijangka akan terus menjadi penyumbang utama bagi tahun yang mendatang.
"Tahun kewangan 2020/2021 adalah yang paling mencabar kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali pertama dikuatkuasakan di Malaysia apabila pandemik Covid-19 menyerang.
"Ketika suasana tidak menentu ini menjejaskan banyak perniagaan, Wasiyyah telah berjaya melaluinya dengan melaksanakan pelbagai strategi digital yang inovatif,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ariffin menekankan bahawa faktor utama kepada pencapaian tersebut adalah pengenalan akad hibah secara dalam talian yang diperkenalkan pada bulan Mei 2021 selepas PKP dikuatkuasakan.
Jelasnya, kaedah patuh syariah yang inovatif itu membolehkan pemberi dan penerima hibah berada di mana-mana lokasi tanpa perlu bersemuka bagi melaksanakan akad hibah mereka.
"Pengenalan kaedah ini berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan kerana ia memudahkan di samping menghapuskan kebimbangan penyebaran Covid-19 dalam kalangan pelanggan. 65 peratus dari pelanggan memilih kaedah ini.
"Pelaksanaan strategi seperti bekerja dari rumah, sistem pembayaran dalam talian yang lebih cekap dan pengenalan pelbagai sistem lain juga menyokong pertumbuhan perniagaan yang drastik bagi tahun kewangan tersebut,” ujarnya.
Tambah Ariffin, pencapaian tersebut adalah yang terbaik dalam sejarah Wasiyyah semenjak ditubuhkan pada 2004.
Menurut beliau, ia juga adalah hasil komitmen tinggi lembaga pengarah, panel syariah, barisan kepimpinan dan kakitangan serta dai’e Wasiyyah yang agresif melakukan jualan di dalam talian.
"Pandemik telah secara signifikan mengubah kelakuan pengguna, struktur ekonomi dan landskap perniagaan di seluruh dunia.
"Sebagai pemimpin pasaran, Wasiyyah mengenal pasti perubahan ini dan telah, sedang dan akan secara berterusan mengambil segala langkah yang perlu bagi merevolusikan perniagaannya.
"Ia terutamanya dari sudut pengenalan pelbagai kaedah digital yang inovatif bagi mendepani cabaran ini dan memberi perkhidmatan terbaik kepada ummah,” Tambah Ariffin.
-end-