PJ City pertaruh tujuh kudrat lokal

Iklan
Ketua Pegawai Eksekutif Petaling Jaya City bergambar bersama pemain baharu PJ City FC.

BERPEGANG pada slogan #YakiniLokal, Petaling Jaya (PJ) City FC menandatangani tujuh pemain tempatan bagi menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pemain baharu itu membabitkan dua pemain dari Negeri Sembilan FC dan masing-masing satu dari pasukan Terengganu FC, UiTM FC, Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC dan Penang FC.

Iklan
Iklan

Skuad The Phoenix yang menyasarkan kedudukan lima terbaik musim ini, mengikat penjaga gol Muhammad Azfa Arif Mohd Sukri, Aron Kumar (pertahanan), Mohamad Nasir Basharudin (tengah), S. Kumaahran (hadapan), Marcus Mah (tengah), R. Barathkumar (tengah) dan A. Shivan Pillay (pertahanan tengah).

Ketika ditanya kenapa beliau seolah-olah memperkukuh barisan belakang berbanding bahagian serangan, ketua jurulatih PJ City FC, P. Maniam berkata beliau percaya kehadiran Kumaahran mampu menstabilkan hubungan antara pemain pertahanan dan barisan hadapan.

Iklan

"Kumaahran adalah pemain penyerang dan dalam pasukan kita ada Mahalli (Jasuli), Khyril Muhymeen (Zambri), Darren (Lok), dan pemain muda Sunil, Ruhindren dan Syahmi (Zamri). Dia (Kumaahran) boleh membantu bahagian serangan pasukan," katanya pada sidang media majlis mengumumkan pemain pasukan bagi musim 2022 pada Isnin.

Sementara itu, Mohamad Nasir berkata kualiti pemain mendorongnya memilih untuk menyertai kelab itu dan beliau yakin pasukan PJ City FC dapat mencapai sesuatu musim ini.

Iklan

"Saya dapat dua tawaran yang lain tapi memang saya memilih untuk ke PJ City atas sebab untuk cuba cabaran baharu tanpa pemain import dan dibarisi pemain lokal.

"Saya juga akan dapatkan balik momentum permainan untuk saya mencuba (dapatkan tempatan) ke pasukan kebangsaan semula," katanya.

PJ City FC akan memulakan musim baharu berdepan Melaka United FC pada 5 Mac, sebelum ini mengumumkan lanjutan kontrak pemain kebangsaan M. Kogileswaran Raj untuk musim Liga Super 2022.