PADANG TERAP - Penduduk Kampung Tanjung Piring, Nami di sini masih mengamalkan tradisi unik 'lak lay' atau menghambat ikan pada musim kemarau sebagai pendapatan sampingan mereka.
Penduduk, Mat Ali Ismail, 54, berkata, aktiviti riadah itu diwarisi turun temurun daripada generasi terdahulu dan menjadi sumber pendapatan sampingan penoreh selepas hasil getah berkurangan apabila daun getah mulai gugur.
Katanya, aktiviti itu menggunakan"tali" yang diperbuat daripada bahagian dalam batang pisang, yang diuraikan selain menjadi 'daun' lutsinar yang akan dilintangkan atau ditarik di dalam sungai.
" Ikan akan takut melihat sinaran putih daripada 'lak lay' ini, kita akan hambat ikan sambil menggunakan kayu untuk mengetuk air dan batu supaya ikan lari dari hilir ke hulu sungai," katanya ketika ditemui di Pengkalan Tok Harun, Sungai Cheba di sini pada Jumaat.
Menurutnya, di hulu sungai, penduduk kampung telah memasang pukat atau jaring untuk menanti ikan yang dihambat.
" Apabila sampai ke hulu ikan akan melompat dan tersangkut di jaring berkenaan dan kita akan kumpulkan dalam tong yang disediakan
" Aktiviti ini dilakukan dengan penglibatan kira-kira 10 orang penduduk bergantung kepada keluasan sungai, antara ikan yang berjaya didaratkan adalah ikan lampam, sebarau, dan baung.
" Selalunya kami berjaya mendapat antara 15 hingga 20 kilogram (kg) ikan menerusi aktiviti itu dan ia boleh dilakukan secara berulang sekiranya ingin mendapatkan hasil yang lebih banyak," katanya.
Penoreh getah, Che Hat Ismail, 76, berkata dia menyertai tradisi 'lak lay' bagi menambah pendapatannya selepas kehilangan separuh pendapatan apabila susu getah semakin berkurangan.
"Dulu saya menerima pendapatan kira-kira RM700 sebulan hasil menjual getah sekerap tapi sekarang hanya dapat kira-kira RM350 sebulan sahaja.
" Apabil terlibat dengan aktiviti 'lak lay', saya akan jual ikan yang didaratkan dengan harga antara RM7 hingga RM8 sekilogram.
"Kadang-kadang ikan yang didaratkan juga akan dibuat pekasam dan akan dijual dengan harga yang lebih tinggi," katanya yang mula menyertai 'lak lay' sejak 1960-an.
Sementara itu, Mohd Rizan Romli,41 berkata, ini merupakan tahun kedua dia menyertai aktiviti 'lak lay' setelah diperkenalkan oleh rakan-rakannya.
" Saya mempunyai hobi mencari ikan jadi terdetik untuk menyertai aktiviti tradisi ini kerana kelihatan unik selain dapat memperkenalkan kepada generasi sekarang tentang aktiviti lak lay.
" Saya sebelum ini pun tak tahu lak lay ini apa, tapi sekarang ini saya dapat menimba pengalaman baru dan seharusnya ia diperkenalkan secara meluas kepada penduduk luar," katanya yang berasal dari Kampung Pisang, Kuala Nerang.