KUANTAN - Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran tujuh hingga lapan juta pelancong domestik ke Pahang tahun ini.
Sasaran itu dijangka mampu dicapai walaupun beberapa lokasi pelancongan di negeri ini termasuk di daerah Bentong dan Temerloh terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Exco Pelancongan, Kebudayaan,Alam Sekitar,Perladangan dan Komoditi Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, bagi lokasi tumpuan pelancong di kawasan lain yang tidak terjejas banjir ia dibuka seperti biasa.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak meletakkan sasaran kemasukan pelancong asing mengambil kira jangkaan kehadiran mereka tidak tinggi ekoran pelbagai kekangan yang dihadapi ketika ini.
"Bagi pelancong domestik kita yakin sasaran itu mampu dicapai dan sekiranya pandemik Covid-19 mulai reda, bilangan pelancong domestik ke negeri ini mungkin akan meningkat dari jumlah yang disasarkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran 'This Is Pahang 2022-Unlimited dan Malam Penghargaan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang di sini pada malam isnin.
Majlis disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang,Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri,Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.
Mohd Sharkar berkata, kehadiran pelancong ke Pahang pada 2020 mencecah lebih tujuh juta walaupun ketika itu pandemik Covid-19 telah melanda seluruh negara.
"Ketika itu kita masih ada peluang untuk bergerak rentas negeri dan daerah namun tahun lalu, kemasukan pelancong hanya sekitar satu juta ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang sehingga sektor pelancongan terpaksa ditutup.
"Keadaan semakin baik ketika ini apabila saya difahamkan kehadiran pelancong terus meningkat berdasarkan tempahan penginapan sudah dibuat hingga April," katanya.
Justeru katanya, pelancaran tema baharu pelancongan Pahang 'This Is Pahang 2022-Unlimited' sebagai salah satu usaha ke arah menggalak dan merancakkan kembali sektor pelancongan di negeri ini.
"Melalui pelancaran tema pelancongan baharu ini, pelbagai inisiatif akan diteruskan dan dipergiatkan bagi menarik lebih ramai pelancong dari dalam mahupun luar negara untuk melancong ke Pahang.
" Para penggiat pelancongan di negeri ini juga telah bersedia dan akan membantu sedaya upaya bagi meningkatkan hasil pendapatan negeri yang terjejas teruk sepanjang pandemik," katanya.
Tambah beliau, antara perancangan tahun ini termasuk penganjuran acara sukan air bertaraf dunia ' Pahang Ocean Canoe International Challenge' yang dijangka pada Julai atau Ogos depan.
"Acara itu bagi mempromosikan keindahan jajaran pesisir pantai di negeri ini sepanjang 240 kilometer ke mata dunia.
"Pada masa sama, kita merancang untuk menganjurkan 'Pahang Hiking Week' bagi mempromosikan lokasi pendakian di negeri ini.
"Kita rancang acara ini akan berlangsung serentak seluruh negeri namun tarikhnya belum ditetapkan," katanya.
Mengulas berhubung Malam Penghargaan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Mohd Sharkar berkata, sebanyak 111 anugerah disediakan melalui pelbagai kategori,antaranya Anugerah Trofi Utama, Anugerah Pelancongan, Anugerah Kebudayaan dan Kesenian, Anugerah Media dan Anugerah Kraftangan.
"Anugerah ini sebagai pengiktirafan dan penghargaan semua pihak terutama penggiat pelancongan, kebudayaan, pengusaha penginapan, peniaga makanan, media dan agensi kerajaan yang banyak membantu dalam sektor pelancongan negeri," katanya.
Sinar Harian antara agensi media yang menerima Anugerah Media pada sesi yang berlangsung pada sebelah petang.