PETALING JAYA - Seorang warga asing maut dipercayai akibat dilanggar sebuah kereta ketika melintas di Jalan Lapangan Terbang Subang di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku jam 8.36 pagi dan lelaki berusia 33 tahun itu meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Iklan
Iklan
"Kemalangan maut di Jalan Lapangan Terbang Subang menghala lapangan terbang itu melibatkan pejalan kaki dan sebuah kereta.
"Siasatan awal mendapati mangsa merupakan warga Nepal dipercayai dilanggar semasa melintas dan meninggal dunia di tempat kejadian,"katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.
Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti punca sebenar kematian.
"Kepada mereka yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohamad Khairil Helmi Mohamad Isa di talian 019 331 8339," ujarnya.