JOHOR BAHRU - Bekas Exco Kerajaan Johor menyifatkan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian gagal dalam menyelesaikan isu bencana alam di Pasir Gudang.
Datuk Ayub Rahmat turut membidas tindakan kerajaan negeri dan Menteri Besar yang sering menuding jari kepada pembangkang.
"Rasanya dia terlupa bahawa dia seorang Menteri Besar yang boleh membuat keputusan. Rakyat Pasir Gudang terutamanya dan rakyat Johor sentiasa memerhati dan menilai kerja Menteri Besar dan Exco-Exconya," katanya dalam kenyataan, semalam.
Mengulas mengenai usul dikemukakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang ditolak oleh Dewan Rakyat kerana tidak menerima permintaan rasmi dari Kerajaan Johor, Ayub berkata, pandangan Hassan ternyata tidak dilayan dan dipandang sebelah mata oleh Menteri Besar.
Katanya, sekiranya mahu mengetahui betapa kecewanya rakyat Johor berhubung tindakan kerajaan negeri dalam menangani bencana itu, beliau menyarankan pimpinan negeri melihat komen warganet di Facebook rasmi Menteri Besar.
Selain itu, beliau menjawab tuduhan mengatakan dirinya hanya membuat andaian dan ramalan secara rambang malah tidak mengetahui perkara sebenar yang berlaku, Ayub memaklumkan beliau telah melawat ke beberapa lokasi pusat rawatan awal.
"Menteri Besar sendiri yang berkata masalah ini masih terkawal dan tidak perlu mengisytiharkan darurat.
"Ia sangat mendukacitakan rakyat di Pasir Gudang seolah-oleh tidak melihat dengan mata sendiri kejadian yang berlaku," katanya.