TAWAU - UMNO Sabah sentiasa mengamalkan sikap terbuka untuk menerima semula ahli yang meninggalkan parti itu dulu.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya juga turut mengalu-alukan kemasukan ahli baharu yang ingin menyertai perjuangan UMNO di negeri ini.
"UMNO dilihat semakin mendapat tempat di hati rakyat berdasarkan komitmen parti yang membantu rakyat dari dulu hingga kini.
"Bagi mereka yang ingin kembali ke pangkuan UMNO, Barisan Nasional (BN) kita mengamalkan sikap pintu terbuka asalkan mereka ikhlas dalam perjuangan," katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Dewan Masyarakat Kampung Rancangan Apas Proper Batu 22, Balung, di sini, pada Isnin.
Tambah beliau lagi, penerimaan semula rakyat terhadap perjuangan BN dan UMNO semakin pulih dan ia dapat dibuktikan melalui beberapa siri pilihan raya di beberapa tempat.
"Rakyat sudah tentu bijak menilai apa yang telah dilakukan oleh BN, UMNO ketika menerajui negara selain kestabilan politik lebih teratur dan ekonomi negara juga terurus.
"Rakyat dilihat memilih BN, UMNO dalam beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) dan ini sekali gus membuktikan keyakinan mereka terhadap perjuangan parti," katanya.
Dalam majlis itu, Bung Moktar turut menerima borang kemasukan ahli UMNO dari beberapa kumpulan dan individu di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung.
Sementara itu, pada majlis sama, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menyeru golongan petani supaya tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada satu jenis tanaman saja.
Katanya, petani harus fokus kepada tanaman lain sebagai persediaan bagi mereka sekiranya berdepan dengan kejatuhan harga produk sesuatu jenis tanaman.
"Kita sedia maklum harga kelapa sawit mengikut harga pasaran dan masanya harganya menjunam jatuh yang memberikan kesan kepada peneroka.
"Justeru dengan adanya tanaman lain ia boleh mengimbangi pendapatan seharian petani yang terjejas," katanya.