IPOH - Sebuah klinik baharu diperlukan penduduk sekitar Chemor, di sini apabila Klinik Kesihatan Chemor yang dibina sejak tahun 1985 berdepan kesesakan untuk menampung pertambahan populasi seramai 131,000 penduduk.
Perkara itu disuarakan penduduk dan pegawai perubatan klinik tersebut ketika Sesi Libat Urus Pemimpin Tempatan dan Warga Keselamatan sempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi di Dewan Komuniti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Chemor, di sini pada Isnin.
Pakar Perubatan Keluarga di Klinik Kesihatan Chemor, Dr Albert Yong Kui Choon berkata, situasi itu amat membebankan petugas kesihatan di klinik berkenaan apabila perkhidmatan yang disediakan melebihi kapasiti yang sepatutnya.
Menurutnya, pembangunan pesat dan kepadatan penduduk menyebabkan klinik kesihatan sedia ada dengan saiz sama ketika dibina 37 tahun lalu tidak mampu menampung jumlah kehadiran pesakit.
"Kepadatan penduduk di sini lebih besar daripada lima daerah di Perak. Contohnya daerah Muallim ada 71,000 penduduk ada dua klinik kesihatan dan daerah Batang Padang dengan populasi penduduk seramai 130,000 orang, mereka ada 10 klinik kesihatan.
"Tapi di Chemor hanya ada satu saja, dan kita amat perlukan lebih ramai staf kesihatan. Setakat ini untuk 131,000 penduduk hanya ada 13 orang pegawai perubatan dan dua pakar perubatan keluarga. Sebab itu kita merasakan perlu ada satu lagi klinik kesihatan baharu berhampiran,” katanya selepas ditemui pemberita pada program tersebut.
Dr Albert sebelum itu meluahkan perkara sama ketika sesi libat urus dan mendapat sokongan daripada beberapa penduduk yang hadir pada sesi berkenaan.
Menurutnya, pertambahan penduduk berlaku sejak tahun 2020 dengan kewujudan lebih banyak kawasan perumahan dan pelbagai pusat membeli-belah.
Katanya, kepesatan pembangunan di kawasan sekitar Chemor tidak selari dengan kemudahan awam setempat seperti klinik kesihatan.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang ditemui selepas program itu menjelaskan, kerajaan negeri akan melihat keperluan itu.
Jelasnya, perbincangan lanjut akan dibuat bersama Kementerian Kesihatan bagi menaik taraf klinik kesihatan itu dan menambah kakitangan sedia ada untuk memenuhi keperluan penduduk setempat.
"Saya juga akan membuat lawatan mengejut ke klinik ini nanti bagi melihat sendiri keadaan dan keperluan seperti yang dimaklumkan.
"Kita akan cuba dapatkan secepat mungkin keperluan itu sebelum tahun 2030," katanya.