Anugerah PhD UPM timbul tanda tanya

Iklan
Shamsul Iskandar

PETALING JAYA - Tindakan Universiti Putra Malaysia (UPM) menganugerahkan 398 Ijazah Doktor Falsafah (PhD) tahun ini menimbulkan tanda tanya kerana jumlah itu dilihat terlalu luar biasa.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pertikaian timbul apabila universiti terbaik dunia misalnya hanya menganugerahkan 20 penerima PhD dalam satu-satu masa.

Iklan
Iklan

" Saya tertanya mengapakah begitu ramai yang dianugerahkan PhD di UPM sedangkan universiti- universiti di luar negara yang lebih tinggi rankingnya dalam senarai Times Higher Education misalnya, tidak menganugerahkan ijazah PhD sebanyak itu dalam setahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Gambar Hiasan

Menurutnya, bagaimanakah pelajar PhD ini dinilai sekiranya seorang pelajar memerlukan seorang profesor sebagai penyelia bagi tujuan memantau, menyemak dan meluluskan tesis yang mereka hasilkan.

Iklan

"Adakah UPM mempunyai tenaga pengajar sebanyak itu atau mereka diselia oleh pensyarah yang lebih rendah taraf akademiknya?” soalnya.

Jelasnya lagi, sedangkan 10 universiti terbaik dunia, jika diteliti graduan PhD yang dihasilkan tidak lebih 20 orang setahun, sebagaimana universiti terulung dunia seperti Universiti Cambridge yang hanya melahirkan di bawah sepuluh oleh pelajar PhD setahun dalam lima tahun terakhir ini.

Iklan

"Adakah PhD yang dihasilkan oleh UPM ini setaraf dengan universiti utama dunia atau mempunyai taraf berlainan? Jika PhD yang dihasilkan di bawah standard (substandard) universiti ulung dunia dan kaedah penyediaan tesisnya lebih mudah maka bagaimanakah standard ini diakui dunia akademik di luar Malaysia?” katanya.

Beliau berkata, penganugerahan PhD bukan perkara kecil memandangkan seseorang yang memiliki PhD dianggap layak dan kompeten untuk melakukan kerja-kerja yang sesuai dengan kepakarannya.

"Sekiranya kualiti PhD itu di kompromi maka kerja yang dilakukan kelak merisikokan organisasi yang mengupah mereka.

"Saya mendesak Kementerian Pengajian Tinggi agar memantau universiti tempatan yang mengeluarkan begitu banyak graduan PhD dalam setahun dan meneliti kaedah penghasilan PhD mereka, sebelum ranking universiti di Malaysia merosot di peringkat antarabangsa yang tentunya meletakkan kepentingan kepada kualiti penyelidikan,” jelasnya.

Selain 398 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), UPM turut menganugerahkan sarjana (1,093 orang), sarjana muda (3,544 orang) dan diploma (660 orang) pada majlis konvokesyen ke-44 yang berlangsung baru baru ini.