Pelajar pondok bakal hilang tempat tinggal

Iklan
Para pelajar duduk di dalam bilik asrama mereka di Pondok Darul Syahadah. FOTO: SINAR HARIAN

BACHOK - Seramai 55 pelajar Pondok Darul Syahadah di Gunong, Bachok berkemungkinan hilang tempat tinggal apabila tempoh kebenaran menggunakan tanah dan premis pusat pengajian agama itu tamat.

Pendaftar Pondok Darul Syahadah, Rusyairi Rohani berkata, pihak pondok berkenaan menerima notis daripada pemilik tanah supaya mengosongkan premis itu selewat-lewatnya bulan depan.

RUSYAIRI ROHANI

Iklan
Iklan

Katanya, keadaan itu menyebabkan 30 pelajar lelaki dan 20 pelajar perempuan berusia antara lapan dan 17 tahun hilang tempat tinggal serta tempat untuk mempelajari ilmu agama.

"Kami menerima notis penamatan memorandum persefahaman (MoU) bertarikh 12 Januari lalu yang meminta supaya kami mengosongkan premis selewat-lewatnya pada 12 Mac depan.

Iklan

"Pelajar-pelajar perempuan sudah dipindahkan terlebih dahulu dengan menumpang di sebuah rumah persendirian di Negeri Sembilan manakala pelajar-pelajar lelaki dalam proses untuk dipindahkan sementara ke sebuah pondok kosong yang dipinjamkan di Bera, Pahang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pondok Darul Syahadah di Gunong di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Mudir Pondok Darul Syahadah, Amir Nazif Zainul Anuar dan bekas Pengerusi Pondok Darul Syahadah, Zainul Anuar Abdullah.

ZAINUL ANUAR ABDULLAH

Iklan

Rusyairi berkata, pelajar-pelajar sekolah pondok berkenaan terdiri daripada anak yatim dan asnaf dari Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kemboja.

"Kami juga membuat laporan polis berhubung perkara ini kerana kami kehilangan tempat dan tidak dapat meneruskan pembelajaran seperti biasa.

"Tujuannya bagi mempertahankan hak kami dan menuntut ganti rugi serta menghalang daripada sebarang provokasi dan kekerasan terhadap kami,” katanya.

Dalam pada itu, Zainul Anuar mendakwa, tanah dan premis pondok berkenaan diwakafkan oleh pemiliknya menerusi MoU antara beliau dan pemilik tersebut pada lima tahun lalu sebelum pihaknya membina beberapa bangunan tambahan baharu yang dianggarkan bernilai lebih RM409,000.

"Kami diberi syarat sekiranya tidak mahu keluar, kami perlu membayar RM600,000 sebagai balasan tanah dan bangunan yang diwakafkan.

"Pemilik tersebut juga menyatakan beliau dipanggil oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) kerana pondok kami dikatakan terlibat dengan perkara melanggar ajaran Islam,” katanya.

Pelajar-pelajar Pondok Darul Syahadah di Gunong, Bachok yang berkemas untuk berpindah sementara di sebuah pondok kosong di Bera, Pahang.

Sementara itu, pemilik tanah ketika dihubungi Sinar Harian, berkongsi MoU berkaitan dan menafikan mewakafkan premis serta tanah berkenaan sebaliknya cuma membenarkan kepada pihak pondok berkenaan beroperasi secara percuma.

"MoU dibuat pada 20 Julai 2016 dengan terma pihak Pondok Darul Syahadah bersetuju menerima tawaran untuk membangunkan semula tahfiz milik saya yang sedia ada di tapak itu sebelum ini.

"Pihak saya sudah memberi mereka menggunakan premis dan tanah itu secara percuma selama ini serta dirasakan tempoh tujuh tahun itu sudah mencukupi manakala berkaitan siasatan perlu berhubung dengan JAHEAIK,” katanya.