Polis Kelantan serbu klinik swasta jual kad vaksin palsu

Iklan
Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan menerima empat aduan daripada sumber berbeza berkenaan pengeluaran kad vaksinasi disyaki palsu oleh sebuah klinik swasta di Kota Bharu. (Gambar hiasan) - Foto Bernama

KOTA BHARU - Polis Kelantan menyerbu sebuah klinik swasta di sini selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pemalsuan sijil vaksinasi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pada 16 Januari lalu, pihaknya menerima satu laporan mengenai pengeluaran kad vaksinasi dipercayai palsu.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan laporan yang diterima, antara 1 Oktober 2021 hingga 11 Januari 2022, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) telah menerima empat aduan daripada sumber berbeza berkenaan pengeluaran kad vaksinasi disyaki palsu oleh sebuah klinik swasta.

Shafien Mamat - Foto Bernama

"Klinik berkenaan dipercayai di kawasan Kota Bharu dan mereka didakwa menawarkan perkhidmatan suntikan vaksin dengan caj RM180 setiap suntikan.

Iklan

"Hasil semakan lanjut oleh pihak JKNK mendapati empat individu yang dikatakan telah menerima vaksin tersebut tiada rekod vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurutnya, bertindak atas laporan polis yang dibuat, pihak polis bersama pegawai JKNK telah membuat serbuan ke atas klinik berkenaan.

Iklan

Katanya, serbuan berkenaan berjaya menahan empat suspek berumur pertengahan 30-an hingga awal 60-an yang terdiri daripada tiga penerima vaksin dan seorang pemilik klinik berkenaan.

"Turut dirampas, kad vaksinasi dan lain-lain dokumen yang berkaitan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta untuk tampil membuat laporan polis di balai polis berhampiran,” katanya.