TAWAU - Tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tiga kanak-kanak sanggup gadai nyawa redah lautan semata-mata mahu menyeludup masuk ke negara ini melalui perairan Tawau.
Bagaimanapun, dalam kejadian jam 8.35 malam itu, tindakan kesemua PATI berusia antara dua hingga 38 tahun itu membawa padah apabila ditahan Tim Op Cegah Pati (OCP) Daratan dalam operasi di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Apas, di sini.
Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima maklumat risikan berhubung kemasukan PATI ke daerah itu.
"Ketika pemantauan dibuat, sebuah kenderaan jenis Proton Iswara dikesan sedang bergerak keluar dari kampung terbabit dan dipercayai membawa PATI yang baru tiba dari Pulau Sebatik, Indonesia.
"Tim OCP Daratan kemudian bertindak mengekori kenderaan terbabit sehingga berhenti di bangunan kedai di Jalan Habib Sheikh Sabindo dan hasil pemeriksaan terdapat tujuh warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Katanya lagi, pemeriksaan pada kenderaan itu dipercayai digunakan oleh ejen untuk membawa PATI berkenaan bergerak masuk ke dalam Tawau.
"Pemandu kenderaan yang juga warga tempatan berusia 58 tahun ditahan dan hasil pemeriksaan pada PATI berkenaan mendapati mereka cuba masuk secara haram melalui perairan Tawau dengan menaiki bot yang diuruskan ejen lain dari Pulau Sebatik menuju ke daerah ini.
"Sebaik tiba, mereka diambil oleh ejen dari Tawau sebelum dihantar ke destinasi yang ditetapkan," katanya.
Tambah beliau lagi, semua individu dan rampasan dibawa ke Pangkalan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63," katanya.