SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak lelaki, Kashrav Mahadev Sugendran, 5 dianugerahkan Malaysia Book of Records pada 5 Disember lalu selepas berjaya melengkapkan deskripsi 13 fisiologi sistem tubuh manusia.
Ibunya, Dr Sharlini Devi Guna Segaran, 35, yang sedang melanjutkan kursus khas dalam bidang mikrobiologi perubatan di Universiti Malaya (UM) berkata, anak sulungnya itu mula menunjukkan minat terhadap bidang biologi sejak berumur tiga tahun kerana tertarik dengan pekerjaan ibunya.
Melihat kepada keadaan tersebut, Sharlini bersama suami, Sugendran Palanisamy, 36 mula mengaturkan jadual pembelajaran mengandungi pelbagai aktiviti dan permainan interaktif bagi merangsang perkembangan otak anaknya.
"Sejak kecil, kami sudah dedahkan dia kepada pelbagai bidang seperti kimia, matematik, geografi, sejarah dan lain-lain. Walaupun dia hanya budak biasa-biasa sahaja, tapi dia mudah faham apa yang saya ajar.
"Antara bentuk aktiviti yang kami lakukan ialah seperti mengadakan kuiz, permainan dan eksperimen menggunakan pendekatan yang berbeza dengan kaedah biasa, jadi kami mengajar mengikut kemampuan anak supaya dia tidak tertekan," katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Sharlini yang mempunyai dua orang anak lelaki itu turut berkongsi rahsia Kashrav mempunyai fokus yang baik dan mampu menguasai pelbagai bidang ilmu pada usia muda.
Ujarnya, Kashrav didedahkan dengan penggunaan ‘flash card’ sejak dia masih bayi yang dilihat berkesan untuk meningkatkan fokusnya,selain mengukuhkan pertuturan serta artikulasi sebutan perkataan.
Selain itu, dia dan suami selalu memberikan penjelasan menggunakan lukisan berwarna-warni jika anaknya bertanyakan tentang sesuatu perkara melibatkan sains supaya dia lebih mudah faham.
"Saya pernah kongsikan tips ini bersama rakan dan mereka teruja dengan perkembangan anak yang semakin baik.
"Dari segi pemakanan pun biasa sahaja, tapi saya amalkan minyak ikan kod, selain makanan seimbang. Malah, dia sangat sukakan nasi lemak dan makanan Cina,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Sharlini menjelaskan pihaknya menghubungi persatuan IQ tinggi global, Mensa baru-baru ini dan jika keputusan ujian IQ anaknya bagus, dia akan diserap masuk ke dalam komuniti tersebut supaya mindanya boleh berkembang.
Katanya, pencapaian Kashrav dalam bidang biologi merupakan satu pengiktirafan yang tinggi kerana topik tersebut agak berat untuk kanak-kanak seusianya.
"Semasa perkara ini tular, saya juga menerima permohonan daripada ibu bapa untuk membuat kelas khas bagi mengajar anak-anak mereka kerana terinspirasi dengan kaedah pengajaran mereka.
"Saya pasti nak anak mereka cemerlang, jadi saya fikir jika ada masa senggang, mungkin saya akan buat satu saluran YouTube tentang pengetahuan am supaya kanak-kanak boleh menontonnya, tapi biarlah selepas peperiksaan saya tamat.
"Saya harap bila anak saya berjaya, dia boleh menyumbangkan baktinya kepada masyarakat,” katanya.