Azam Baki perlu ditangkap bantu siasatan

Iklan
AZAM BAKI

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki perlu ditahan segera bagi membantu siasatan berhubung saham-saham yang dimilikinya.

Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki dalam satu kenyataan berkata, penangkapan itu perlu bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Iklan
Iklan

"Proses undang-undang ke atas beliau (Azam) harus dimulakan dan SPRM perlu dirombak serta diletakkan di bawah Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan Selasa.

Kenyataan bersama itu turut disokong oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK), DAPSY Malaysia, Pemuda Amanah, Pemuda Harapan, Pejuang Muda, Pejuanita Muda, Pemuda Sosialis dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Iklan

Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan yang turut menyokong termasuklah Sekretariat Solidariti Rakyat, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Mereka berkata, semua ini sukar untuk terhasil sehingga proses undang-undang yang harus bermula dengan penangkapan Azam Baki oleh pihak berkuasa dilakukan dengan segera.

Iklan

"Rakyat sekian lama dibiarkan tanpa penjelasan yang memuaskan daripada kerajaan dan pihak berkuasa.

"Malah mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang sepatutnya bersidang pada 19 Januari bagi menyiasat Azam Baki juga telah ditangguhkan. Maka apakah jalan lain bagi rakyat untuk mendapatkan penjelasan dan memastikan mereka yang diberi amanah menjalankannya dengan bebas dan adil?” soal mereka.

Dalam pada itu, kenyataan bersama itu turut memaklumkan terdapat dua laporan berita yang melaporkan kemungkinan terdapat salah guna kuasa melibatkan isu saham yang dimiliki Tan Sri Azam Baki

"Azam Baki mengelak daripada menjawab isu struktural dengan tidak memberi kerjasama kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri berkenaan pembelian dan pemilikan saham tersebut. Sebaliknya, beliau memilih untuk memfailkan saman sebanyak RM10 juta terhadap wartawan yang menulis artikel berkait dengan tindakan Azam serta adiknya Nasir Baki.

"Tekanan sebegini bersifat menutup cerita sebenar daripada terkeluar dan menimbulkan lebih banyak persoalan. Malah, Azam Baki bertindak menyalahgunakan nama dan jawatan Yang di-Pertuan Agong dengan berkata sebarang laporan berkait isu ini adalah tindakan menghina Agong,” katanya.

Tegas kenyataan itu, jika penahanan Azam Baki tidak berlaku, kebarangkalian isu ini ditutup amatlah tinggi.