SHAH ALAM - Persatuan Bas Sekolah Selangor Putrajaya Dan Kuala Lumpur (PBSSPKL) pada Selasa memaklumkan tiada pengecualian kadar tambang disebabkan sistem penggiliran atau cuti sekolah pada Januari hingga Mac.
Pengerusinya, Mohd Haron Al-Sidik berkata, ini kerana pengusaha bas sekolah perlu membuat bayaran penuh pinjaman bank, gaji pemandu, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Malah, PBSSPKL katanya, juga menjangkakan kemungkinan akan berlaku kenaikan kadar tambang bas untuk sesi persekolahan baharu pada tahun ini yang akan bermula pada 21 Mac depan.
"Kenaikan tambang untuk sesi persekolahan tahun 2022 tidak dapat dielakkan lagi kerana kos baik pulih kenderaan, alat ganti, minyak hitam, tayar, bateri dan lain-lain telah naik sehingga 100 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau berkata, ramai juga pengusaha bas sekolah yang berdaftar dan berpermit telah menghentikan perkhidmatan disebabkan kekurangan penumpang.
Menurutnya, ada juga pengusaha bas sekolah terpaksa menukar kerjaya mereka kerana tidak mampu beroperasi semula dan ramai juga yang balik ke kampung halaman mereka semula.
"Ada juga pengusaha bas sekolah berhutang dengan pihak kredit mencecah RM30,000 kerana tidak mampu membayar ansuran pinjaman.
"Pengusaha (bas sekolah) juga sudah tiada modal atau wang simpanan lagi untuk meneruskan kerjaya di dalam industri bas sekolah ini.
"Kebanyakan kenderaan mereka sama ada rosak disebabkan banjir dan terlalu lama tidak diselenggara kerana wabak Covid19," katanya.
Berikutan itu, beliau berkata, PBSSPKL mencadangkan agar pelanggan dan pengusaha bas sekolah dapat berbincang agar situasi menang-menang di antara kedua-dua pihak dapat dicapai.
Dalam pada itu, beliau berkata, modal untuk baik pulih juga terlalu tinggi dan mereka tidak mampu untuk memperbaharui insurans sekaligus tidak dapat menghadiri pemeriksaan berkala.
Menurutnya, PBSSPKL memohon pengecualian pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) namun gagal mendapatkan perhatian.
"Natijahnya, kenderaan haram yang beroperasi di sekolah akan menjadi semakin berleluasa dan ini akan mendedahkan risiko tidak selamat kepada penumpang dan memalukan negara," tambahnya.