Manfaat betul-betul RM10 juta

Iklan
Barisan pemain muda dianggap aset bagi memacu kejayaan bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) bagaikan mendapat ‘wang besar’ apabila bakal menerima sumbangan RM10 juta daripada pihak kerajaan seperti mana yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin.

Perkhabaran gembira itu sudah pasti melegakan FAM dalam menstabilkan semula industri bola sepak negara yang masih terkesan dengan impak Covid-19 sejak tahun 2020.

Iklan
Iklan

Bagi bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar, beliau menyambut baik sumbangan RM10 juta yang dihulurkan pihak kerajaan dalam memastikan arena bola sepak Malaysia terus ‘bernyawa’.

Namun, Azlan mengingatkan barisan kepimpinan FAM menggunakan dana sumbangan itu sebaik mungkin bagi memastikan pembangunan bola sepak khususnya di peringkat akar umbi tidak terabai.

Iklan

"Saya harus memberikan tabik hormat kepada Perdana Menteri atas sumbangan RM10 juta kepada FAM. Bantuan yang diberikan ini bagus untuk pembangunan bola sepak negara.

"Sebagai peminat bola sepak, saya bersyukur kerana kerajaan nak bantu FAM. Saya cuma berharap dana itu digunakan sebaik-baiknya dan jangan pula dibelanjakan sewenang-wenangnya.

Iklan

"Harus diingat bahawa bola sepak negara masih ketinggalan jauh... terlalu jauh di mana jika hendak dibandingkan dengan beberapa negara jiran seperti Vietnam dan Thailand.

"Jadi dengan adanya sumbangan itu, diharapkan ia sedikit sebanyak dapat membantu FAM merancang semula program pembangunan bola sepak di negara ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan kerajaan akan memberi sumbangan RM10 juta kepada FAM sebagai tanda sokongan ke arah pembangunan mutu bola sepak negara.

Perdana Menteri turut berharap agar lebih ramai pihak dapat menjadi satu pasukan dalam membangunkan kualiti bola sepak negara dan tidak hanya bergantung kepada FAM.

"Terus terang saya boleh katakan, tak ada apa yang boleh dibanggakan dengan pasukan kebangsaan, pemain-pemain muda negara kita di mana sekarang?

"Jangan lupa pasukan kebangsaan lain dah menuju ke arah yang positif terutamanya dari segi perkembangan pemain-pemain muda. Tetapi kita masih ketinggalan di belakang.

"Jadi sekali lagi saya menyeru FAM bertindak segera menyelamatkan bola sepak Malaysia. Gunakanlah peruntukan kerajaan ini demi kebaikan pasukan kebangsaan,” ujarnya.