KUALA LUMPUR - Parti Bangsa Malaysia (PBM) menggariskan enam tunjang utama sebagai usaha untuk menjana kebangkitan semula Malaysia di persada dunia.
Setiausaha Agungnya, Nor Hizwan Ahmad berkata, ia melibatkan pembangunan ekonomi, anak muda, wanita, pendidikan, sains dan teknologi serta kepelbagaian kaum.
Namun, katanya, sekiranya gejala rasuah tidak dibanteras secara menyeluruh, Malaysia tetap tidak akan berupaya menjadi negara maju disegani masyarakat antarabangsa.
"Kami percaya, untuk menghapuskan gejala rasuah sehingga ke akar umbi, ia wajar dilaksanakan melalui sistem pendidikan negara bermula dengan pendidikan di sekolah rendah.
"Anak-anak harus diajar untuk membenci rasuah dan mengamalkan prinsip integriti tertinggi supaya apabila mereka besar nanti, mereka akan melihat rasuah sebagai suatu amalan yang amat jijik dan berusaha sedaya upaya untuk menghindarinya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, pendidikan anti-rasuah tidak perlu dilaksanakan secara formal tetapi boleh dilaksanakan melalui segmen-segmen tertentu di dalam subjek seperti Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.
Selain itu, katanya, PBM turut menghargai usaha badan-badan bukan kerajaan seperti Rasuah Busters dan pertubuhan-pertubuhan anti-rasuah lain yang dilihat amat komited memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
"Untuk membanteras kejahatan gejala rasuah ini, kita semua perlu bergabung tenaga untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara berintegriti tinggi di masa hadapan, yang disanjung di peringkat antarabangsa,” tambahnya.