Penduduk dakwa terganggu bunyi bising tapak kitar semula

Iklan
Premis kitar semula dan besi buruk yang terletak berdekatan dengan rumah penduduk.

GEORGETOWN - Penduduk kampung dan taman perumahan di kawasan Lima Kongsi, Sungai Bakap mendakwa hidup mereka tidak tenang apabila mengalami gangguan bunyi dari tapak pengumpulan bahan kitar semula dan besi buruk di situ.

Sebilangan penduduk tempatan di situ kurang senang dengan aktiviti dari tapak pengumpulan kitar semula yang beroperasi di Kampung Lima Kongsi terutamanya bahagian pengumpulan dan pemprosesan besi buruk.

Iklan
Iklan

Ini kerana, jarak antara premis berkenaan dengan kawasan penempatan hanya kira-kira 50 hingga 100 meter sahaja malah yang paling hampir hanya di belakang rumah penduduk.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berkata, penduduk agak terganggu dengan bunyi bising hentakan dari tapak berkenaan.

Iklan

"Hentakan yang dilakukan tersebut kononnya untuk mendapatkan besi yang terdapat daripada bahan batuan konkrit.

"Aktiviti terbabit adakalanya berlarutan sehingga jam 7 hingga 8 malam setiap hari dan mengganggu ketenteraman penduduk di situ khususnya anak-anak yang sedang belajar secara dalam talian dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Tambah Meenakshi, selain bunyi bising, penduduk juga turut berhadapan dengan masalah debu dan habuk daripada kenderaan yang kerap melalui jalan utama di situ.

"Kenderaan berat seperti lori sering keluar masuk ke premis terbabit. Ia bukan saja menyebabkan pencemaran udara, malah mengancam keselamatan penduduk apabila terdapat banyak kenderaan termasuk kenderaan berat melalui jalan utama dengan kerap.

"Masalah habuk dan debu yang berterbangan itu semakin serius ketika musim panas pada waktu ini dan menyebabkan kebanyakan kediaman penduduk diselaputi debu pasir. Penduduk juga khuatir jika perkara itu memberi kesan masalah kesihatan pada masa hadapan," katanya.

Kata beliau, difahamkan aktiviti tersebut dijalankan di atas tanah persendirian.

"Walaupun ia dijalankan di atas tanah persendirian, kita masih merasakan ia tidak sesuai memandangkan lokasi premis tersebut sangat dekat dengan kawasan penduduk.

"Selain itu, penduduk turut mempersoalkan lesen operasi yang diberikan oleh pihak berkuasa kepada premis berkenaan. Mereka tertanya-tanya tentang bentuk syarat lesen yang terkandung dalam garis panduan bagi sebarang premis berkaitan pengumpulan kitar semula, bahan lusuh dan besi buruk," ujarnya.

Meenakshi berkata, perkara tersebut telah diketengahkan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), namun sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas.

"Tiada maklum balas daripada pihak berkenaan tentang tindakan yang diambil ke atas aduan kami. Sehubungan itu, SAM menggesa semua pihak berkuasa negeri antaranya MBSP dan Pejabat Tanah dan Daerah Seberang Perai Selatan agar menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan yang telus.

"Jika siasatan yang dilakukan oleh pihak-pihak berkuasa mendapati pihak premis menyalahgunakan syarat, lesen dan permit, maka tindakan yang sewajarnya perlu diambil," katanya.