Aktiviti 'Lak Lay' atau hambat ikan di sungai di Sungai Cheba, Tanjung Piring, dekat Nami di sini. Aktiviti tersebut diadakan pada musim kemarau dimana air sungai menjadi cetek dan jernih sekaligus memudahkan kerja menghambat ikan. Kaedah menangkap ikan atau menghambat ikan menggunakan 'Lak Lay' atau tali oleh penduduk kampung khususnya di kampung Pengkalan Tok Harun, Nami Padang Terap itu diadakan sejak turun temurun khususnya pada musim kemarau. 'Lak Lay' mengunakan bahagian sebelah dalam batang pisang yang berwarna putih. Batang pisang itu diurai berbentuk tali, apabila ikan tengok 'Lak Lay' yang berwarna putih dengan bantuan pantulan cahaya matahari, ikan menjadi takut dan masuk ke dalam jaring yang dipasang. Lazimnya pada musim kemarau, pendapatan dari hasil getah merosot disebabkan daun getah mulai gugur, justeru 'Lak Lay' menjadi satu alternatif bagi mereka untuk menambah sumber ekonomi masing-masing. Mereka mampu memperoleh hasil antara 15 hingga 20 kilogram ikan pelbagai saiz setiap kali menghambat ikan tersebut. Ikan-ikan tersebut boleh dijual sehingga 7 atau 8 ringgit sekilogram atau dibuat pekasam. Aktiviti tersebut dilakukan secara berkumpulan yang melibatkan lima hingga 10 orang yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu satu kumpulan membawa 'Lak Lay' dan kumpulan kedua membawa kayu mengetuk permukaan air untuk menakutkan ikan. Sebelum memulakan aktiviti 'Lak Lay' mereka akan memasak nasi dan sup dalam buluh serta memanggang ayam dan ikan sungai secara bergotong royong. Program jom turun sungai mengimbau kenangan mencari ikan dengan menggunakan peralatan tradisional anjuran wanita muda Parlimen Padang Terap. - Foto Bernama.
Hambat Ikan Dalam Sungai
Iklan