Saravanan ke Indonesia muktamad MoU PDI Isnin ini

Iklan
Saravanan

SHAH ALAM - Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dijadualkan bertemu Menteri Ketenagakerjaan Republik Indonesia, Ida Fauziyah pada 24 Januari ini.

Saravanan berkata, pertemuan itu bagi memuktamadkan isu-isu yang berkaitan dengan Memorandum Persefahaman Pengambilan dan Penempatan Pekhidmat Domestik Indonesia (MoU PDI) supaya ia dapat ditandatangani pada 7 dan 8 Februari 2022 di Bali.

Iklan
Iklan

"Ini juga selaras dengan keputusan mesyuarat jemaah menteri pada 12 Januari 2022 agar satu lawatan diadakan bagi menyelesaikan isu berbangkit berhubung pemeteraian MoU tersebut.

"Isu-isu utama berkaitan dengan MoU tersebut berhubung 'One Maid One House', 'One Channel System' dan gaji PDI telah pun disepakati menerusi siri rundingan di antara kedua pihak,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Pada 10 Januari, Malaysia dan Indonesia dijangka menandatangani MoU PDI pada minggu pertama Februari ini di Indonesia dan antaranya bagi mengawal kos membawa masuk PDI antara RM10,000 dan RM15,000 termasuk kos kuarantin dan levi.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, MoU terdahulu telah ditandatangani oleh Menteri Sumber Manusia pada tahun 2006 di Bali, Indonesia dan protokol bagi meminda MoU tersebut telah ditandatangani di Bandung, Indonesia pada tahun 2011.

Iklan

Tambah beliau, pertemuan itu juga akan dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam siri lawatan kerja ke Indonesia pada tempoh tersebut.