GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Pengguna aplikasi Penang Smart Parking (PSP) diminta tidak perlu risau dengan baki kredit RM4.40 yang dipaparkan di aplikasi berkenaan sejak pagi Rabu.
Pengurusan PSP menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan pihaknya sedang berhadapan dengan masalah teknikal dan berusaha untuk menyelesaikannya secepat mungkin.
Menurut kenyataan itu, kesemua baki kredit pengguna akan diselaraskan selepas waktu operasi pada jam 6 petang Rabu.
"Pengguna PSP tidak perlu risau apabila paparan di aplikasi di telefon bimbit mereka menunjukkan baki RM4.40. Kami sedang berhadapan dengan masalah teknikal dan sedang menelitinya untuk diuruskan secepat mungkin.
"Pihak kami juga memberi jaminan bahawa baki wang di dalam aplikasi PSP selamat dan akan dikembalikan semula ke dalam akaun selepas semua masalah teknikal ini selesai. Semua fungsi lain dalam aplikasi berkenaan akan kekal beroperasi seperti biasa," kata kenyataan itu pada Rabu.
Pihak pengurusan PSP turut memohon maaf kepada semua pengguna dan berharap mereka sabar sehingga kesemua masalah teknikal itu selesai.
Sementara itu, peniaga, Nohazwani Ismail, 39, berkata, dia terperanjat apabila mendapati baki di dalam aplikasi PSP menunjukkan RM4.40 sedangkan dia baharu tambah nilai RM50 pada dua hari lalu.
"Saya menyedari masalah ini pada jam 10 pagi tadi ketika ingin membuat bayaran parkir di Jalan Transfer. Mula-mula hairan juga sebab dua kali mencuba, aplikasi tidak boleh dibuka.
"Setelah mencuba kali ketiga, saya berjaya membukanya namun terkejut mendapati baki hanya RM4.40, sedangkan baru Isnin lalu saya tambah nilai RM50," katanya.
Sementara itu, kerani, Mohd Irwandi Hashim, 45, berkata, aplikasi PSP di telefon bimbitnya langsung tidak boleh diakses sejak jam 11.30 pagi.
"Saya menyedari masalah ini selepas gagal untuk mengakses aplikasi ini sejak pagi tadi ketika ingin ke bank.
"Agak menyusahkan kerana bimbang kereta akan disaman atau ditarik sekiranya tidak membayar parkir. Kerja saya pun tertangguh," katanya.
PSP mula beroperasi pada 19 Ogos 2019 di 647 tempat letak kereta di Georgetown dan 350 di kawasan Seberang Perai.
Antara kawasan tempat letak kereta yang terlibat di Georgetown ialah Lebuh Union, Lebuh Pantai, Lebuh Pasar, Lebuh Penang, Lebuh Queen, Lebuh King, Lebuh Downing, Lebuh Bishop, Lebuh Gereja, Gat Lebuh Gereja, Lebuh China dan Gat Lebuh China manakala di Seberang Perai di Lebuh Langsat dan Jalan Icon City.
Bagaimanapun, pada 2020 sebanyak 36,000 tempat letak kereta dipasangkan sensor untuk kegunaan PSP.
Kadar bayaran tempat letak kereta adalah 80 sen sejam bagi kawasan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan 40 sen sejam bagi kawasan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
Sementara itu, bagi pas bulanan pula, kadar bayaran adalah RM150 sebulan di kawasan MBPP dan RM75 sebulan di kawasan MPSP.