Malaysia kutuk serangan pemberontak Houthi di Abu Dhabi

Iklan
Asap kelihatan disyaki akibat serangan dron di sebuah lapangan terbang antarabangsa Abu Dhabi pada Isnin. - Foto Al Bawaba News/Twitter, gambar kecil: Saifuddin - Foto Bernama

SHAH ALAM - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan oleh pemberontak Houthi ke atas Abu Dhabi yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan pada 17 Januari lalu.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, serangan itu adalah satu tindakan pencerobohan dan mereka yang terlibat harus bertanggungjawab.

Iklan
Iklan

"Malaysia menolak semua bentuk keganasan yang menjejaskan keamanan dan keselamatan serantau.

"Pemusnahan dan keganasan akan memudaratkan kestabilan serta keamanan di rantau,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Kenyataan itu memaklumkan, Malaysia akan terus menyokong usaha yang bertujuan mencari penyelesaian secara damai dan aman bagi konflik di Yemen.

"Malaysia menyampaikan rasa simpati dan takziah kepada mereka yang terjejas akibat serangan itu,” ujarnya.

Iklan

Pada Isnin, pemberontak Houthi Yemen mendakwa melakukan serangan di Abu Dhabi menyebabkan tiga orang terkorban iaitu dua warga India dan seorang rakyat Pakistan selain memberi amaran kepada orang awam dan firma asing di UAE.

Mereka bekerja untuk syarikat minyak ADNOC dan terkorban apabila tiga tangki petrol meletup berhampiran tempat penyimpanan manakala kebakaran turut berlaku di kawasan pembinaan di sebuah lapangan terbang Abu Dhabi.