Wanita hilang seminggu ditemui dalam keadaan selamat

Iklan
Gambar Noor Amira yang diviralkan di aplikasi Whatsapp pada 13 Januari lalu.

PASIR MAS - Seorang wanita yang juga ibu kepada dua orang anak yang dipercayai hilang sejak seminggu lalu berjaya ditemui di Lubok Jong, di sini pada malam Selasa.

Kisah kehilangan Noor Amira Mohamed, 24 mula tular di media sosial sejak Selasa yang mendakwa wanita berkenaan hilang di stesen kereta api Pasir Mas.

Iklan
Iklan

Suaminya, Lokman Hakim Azizi, 26 berkata, isterinya dipercayai hilang pada 12 Januari lalu semasa dalam perjalanan pulang ke Kelantan dari Pahang untuk menjaga mertuanya yang tidak sihat di Rantau Panjang.

Katanya, kali terakhir beliau berjumpa Noor Amira adalah semasa menghantar isterinya itu menaiki kereta api di stesen Kereta Api Kuala Lipis untuk ke Pasir Mas, Kelantan.

Iklan

"Dia sepatutnya sampai di kediaman mertua saya pada 12 Januari namun saya dimaklumkan keluarga di sana yang Noor Amira masih belum tiba.

"Saya yang bimbang dengan keadaan tersebut terus bergerak pulang ke Kelantan untuk mencari dia. Pemeriksaan awal kami di kawasan stesen kereta api mendapati ada saksi yang nampak dia tiba di stesen berkenaan.

Iklan

"Mereka nampak Noor Amira termenung di bangku dan dipercayai ada di antara pemandu kereta sewa yang bertanya hendak ke mana.

"Selepas itu dia terus hilang, saksi pun tidak nampak lagi kelibat dia di kawasan itu,"katanya ketika di hubungi di sini pada Rabu.

Menurutnya, selepas buntu mencari, dia akhirnya meminta ibu mertua membuat laporan polis berhampiran kerana bimbang keselamatan dan keadaan Noor Amira.

Beliau berkata, selepas itu mereka sekeluarga membuat keputusan untuk mencari dengan pelbagai cara termasuklah menularkan berita kehilangan Noor Amira, selain mencari sehingga ke Kuala Terengganu.

"Saya bersyukur sangat apabila dihubungi mengatakan yang Noor Amira di temui dalam keadaan selamat di Lubok Jong.

"Semasa ditemui pada jam 10 malam Selasa, Noor Amira berada dalam keadaan letih dan lesu tanpa sebarang kata. Saya memberi ruang kepada dia untuk berehat dan tenangkan diri.

"Keadaan dia juga seperti takut pada saya, saya pun tidak tahu kenapa. Dia masih penat, selepas ini saya akan tanya apa yang telah berlaku sepanjang seminggu dia hilang.

"Terima kasih kepada orang ramai dan pihak berkuasa kerana berjaya menjejak Noor Amira dan ditemui dalam keadaan selamat," katanya.