KUALA LUMPUR - Hanya kakitangan, kontraktor dan pihak ketiga yang telah diberi vaksin Covid-19 lengkap dibenarkan masuk ke premisnya di Malaysia sejak 1 Oktober 2021, menurut Petronas.
Syarikat minyak nasional itu dalam satu kenyataan yang tersiar di laman sesawangnya berkata langkah tersebut diambil bagi membendung, mengurang dan menghapuskan penularan jangkitan Covid-19 di dalam premis serta di kalangan pekerjanya untuk kelangsungan operasi dan perniagaan Petronas.
"Petronas mempunyai kewajipan seperti yang termaktub dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) untuk memastikan keselamatan, kesihatan serta kebajikan semua kakitangannya termasuk penyediaan persekitaran kerja yang selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan,” katanya.
Petronas terus mengekalkan komitmen ini dan mengharapkan semua pekerja, kontraktor dan pihak ketiga memberi kerjasama sepenuhnya dan mematuhi syarat kemasukan yang dikenakan syarikat.
Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas, Farehana Hanapiah ketika diminta mengulas kenyataan itu berkata:"Ia cukup jelas. Ia menggariskan komitmen kami ke arah memastikan kakitangan kami selamat, ke arah menyediakan persekitaran kerja dengan pengurangan risiko kepada kesihatan terutamanya dengan situasi Covid-19 semasa.”
Beliau juga mengesahkan bahawa syarat kemasukan berkaitan telah dikenakan sejak Oktober dan berkata ia adalah salah satu daripada banyak langkah tegas yang telah dilaksanakan oleh Petronas untuk mengurus serta mengurangkan pendedahan Covid-19.
"Langkah kami, ditambah dengan pensyaratan serta prosedur operasi standard (SOP) yang jelas, telah membolehkan kakitangan kami secara beransur-ansur dan selamat kembali ke tempat kerja masing-masing, meningkatkan semangat serta kerja berpasukan dan kemesraan selepas berbulan-bulan bekerja dari rumah, selain berjauhan antara satu sama lain.
"Kadar vaksinasi yang tinggi di kalangan pekerja kami juga memberikan tahap keyakinan tambahan kepada mereka untuk melaksanakan kerja masing-masing secara fizikal dan membantu dalam pelaksanaan inisiatif-inisiatif Petronas," kata Farehana.
Satu contoh ialah usaha semasa Petronas untuk memberikan bantuan kepada beribu-ribu rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir baru-baru ini yang mana kumpulan itu telah menjanjikan bantuan RM25 juta.
"Kami telah menerima sokongan yang luar biasa daripada ribuan pekerja kami yang telah menjadi sukarelawan dalam pelbagai usaha bantuan, sama ada yang diterajui secara langsung oleh syarikat atau unit dalam kumpulan atau yang dilaksanakan oleh pihak ketiga.
"Kami sememangnya amat berbangga kerana mereka telah dapat menjadi sukarelawan dengan berkesan dan mengambil bahagian dengan selamat,'' tambahnya. - Bernama