Negeri Sembilan belum cadang rapat saf solat jemaah

Iklan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Aminuddin Harun

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan belum bercadang untuk membenarkan solat berjemaah dengan merapatkan saf di masjid ataupun surau di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia selepas mengambil kira situasi semasa jangkitan Covid-19 di negeri ini yang masih merekodkan kira-kira 100 kes sehari.

Iklan
Iklan

"Saya berpandangan menjaga kesihatan lebih penting ketika ini malah saya juga belum menerima mana-mana pandangan daripada pihak berkenaan berhubung perkara tersebut.

"Kita sedia maklum terdapat golongan berusia yang datang ke masjid dan kebolehjangkitan itu adalah tinggi sekali gus berisiko untuk dijangkiti. Jadi kita perlu menjaga kesihatan sendiri kerana menghargai nyawa itu lebih penting," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pada Rabu.

Iklan

Pada Selasa, Negeri Sembilan merekodkan kes baharu Covid-19 dengan 171 kes menjadikan jumlah kumulatif wabak itu kini 115,971 kes.

Sementara itu, media sebelum ini melaporkan semua masjid di seluruh Perlis akan mula solat berjemaah dengan merapatkan saf berkuat kuasa solat Subuh pada 8 Januari lalu.

Iklan

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, keputusan itu mendapat limpah perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah meneliti perkembangan semasa Covid-19 di negeri terbabit.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, kerajaan negeri meneruskan dasar diskaun 15 dan 25 peratus terhadap bayaran premium tanah pertanian yang diluluskan untuk ditukar syarat kepada projek hartanah.

Katanya, permohonan penukaran status tanah tersebut akan diteruskan sepanjang tahun ini berbanding sebelum ini yang hanya menetapkan permohonan dibuat dalam tempoh enam bulan sekali.

"Diskaun sebanyak 25 peratus akan diberikan kepada pengusaha atau pemaju yang dapat menjelaskan bayaran premium dalam tempoh 30 hari selepas kelulusan pertukaran diperoleh manakala diskaun 15 peratus boleh diberikan kepada mereka yang membuat bayaran premium dalam tempoh 60 hari," katanya.

Beliau berkata, persetujuan untuk meneruskan dasar itu bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan projek perumahan malah melibatkan projek perindustrian.

"Ini berikutan kita ingin memastikan pembangunan di negeri ini berjalan dengan lancar selain dapat meneruskan agenda baharu sekali gus dapat merangsang pelaburan ke negeri ini," jelasnya.