PUTRAJAYA - Majlis makan besar Tahun Baharu Cina pada 31 Januari ini dibenarkan terhad kepada ahli keluarga.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, prosedur operasi standard (SOP) sempena Tahun Baharu Cina turut membenarkan upacara sembahyang pada 1 dan 2 Februari serta sembahyang khas Hokkien Clan pada 8 dan 9 Februari.
"Resepsi Tahun Baharu Cina hanya dibenarkan kepada individu yang mendapat jemputan sahaja dengan 50 peratus kapasiti ruang dan penjarakan fizikal," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Bagaimanapun, Halimah berkata, sesi majlis berterusan seperti rumah terbuka adalah tidak dibenarkan.
"Persembahan tarian singa, tarian naga dan tarian harimau dibenarkan tertakluk kepada SOP Industri Kreatif (Persembahan Langsung), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM)," jelasnya.
Sehubungan itu, masyarakat Cina diminta menyambut Tahun Baharu Cina dalam norma baharu.
"Sentiasa patuhi SOP yang ditetapkan, memakai pelitup muka, menjaga kebersihan diri dan memastikan penjarakan fizikal dalam usaha kita memutuskan rantaian Covid-19 di Malaysia," katanya.