LUMUT - Dua warga tempatan ditahan bersama 10 set bubu naga dalam satu operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak di perairan Pulau Talang, di sini pada Rabu.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam kejadian sekitar jam 5 pagi itu, pihaknya menerusi rondaan Op Pintas dan Op Sayong berjaya mengesan kedudukan bubu naga di posisi lebih kurang dua batu nautika barat daya Pulau Talang.
"Bot fiber yang dikendalikan dua kru warga tempatan bersama 10 set bubu naga itu diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim untuk tindakan dan siasatan lanjut.
"Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Menurutnya, penguatkuasaan terhadap bubu naga dilihat serius kerana sering menerima aduan mengenai segelintir komuniti nelayan yang masih berdegil menggunakan peralatan itu tanpa memikirkan kesan sampingan kepada perkembangan habitat marin untuk jangka panjang.
"Penangkapan ikan atau hasil laut menggunakan bubu naga boleh mengancam pertumbuhan habitat marin dan berpotensi pupus serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai," katanya.
Beliau berkata, Maritim Perak mengalu-alukan segala maklumat berkaitan penyalahgunaan apa jua alat penangkapan ikan di perairan Malaysia.
Katanya, komuniti boleh menyalurkan maklumat kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.