SHAH ALAM - Kuasa untuk memulakan, menjalankan dan memberhentikan sebarang prosiding bagi kesalahan di negara ini hanya terletak pada Peguam Negara.
Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, perkara tersebut adalah berdasarkan di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
"Ia bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi Peguam Negara selepas melihat hasil siasatan, untuk memberi pandangan atau mengarahkan siasatan lanjut dilakukan mengenai perkara itu.
"Adakah Suruhanjaya Sekuriti (SC) merujuk hasil siasatan berkaitan kes Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kepada Peguam Negara untuk pendapat beliau?
"Walaupun Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) membuat peruntukan berkenaan akaun sekuriti, sebarang pelanggaran peruntukan di dalam akta itu boleh juga membawa kepada tindakan yang boleh membawa penalti,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada Selasa, SC merumuskan bahawa berdasarkan siasatan, ia tidak dapat membuktikan terdapat pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung pemilikan saham menerusi akaun dagangan Azam.
Pengawal selia pasaran modal tempatan itu berkata, SC membuat kesimpulan dalam siasatannya itu berdasarkan bukti yang dikumpulkan.
Mengulas lanjut, Gobind berkata, Peguam Negara tidak boleh berdiam diri terhadap kenyataan tersebut dan sebagai pendakwa raya, seharusnya menjelaskan lebih lanjut berkenaan perkara tersebut.
"Adakah dia mengkaji hasil siasatan yang dilakukan oleh SC dan membuat sebarang keputusan berkaitannya?
"Jika dia tidak melakukannya, adakah SC mempunyai kuasa untuk memutuskan perkara itu seperti yang dilakukan tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu?” soalnya.