JOHOR BAHRU - Siasatan kes gangguan seksual membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain terhadap seorang wanita yang juga Ahli Jawatankuasa Srikandi Bersatu, Bahagian Kota Tinggi dijangka dilengkapkan minggu ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis sudah memanggil beberapa individu untuk dirakam keterangan berkaitan dakwaan tersebut.
Katanya, ADUN berkenaan serta wanita yang mẹmbuat laporan itu juga telah dipanggil untuk melengkapkan siasatan.
"Polis masih lagi menyiasat, siasatan dilakukan secara adil dan mungkin memerlukan masa dua tiga hari lagi untuk selesaikan siasatan ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Rabu.
Pada Isnin, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora mengesahkan menerima laporan polis dibuat wanita berusia 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi.
Menerusi laporan tular itu, mangsa mendakwa telah diganggu secara seksual ketika hadir ke program dihadiri ADUN berkenaan bermula dengan kejadian pertama pada 2 Januari lalu namun bertindak mendiamkan diri kerana takut berlaku perkara yang tidak diingini.
Kejadian kedua dan ketiga pula berlaku pada 3 dan 12 Januari namun mangsa mendakwa tidak berani untuk menceritakan perkara itu kerana memikirkan status selain bimbang dinafikan perkara itu.
Mangsa akhirnya nekad untuk membuat laporan polis pada 13 Januari lalu.
Bagaimanapun, Rasman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi menafikan tuduhan tersebut.
Rasman berkata, dakwaan berkenaan dilihat sebagai konspirasi politik dan cubaan untuk menjatuhkan maruahnya serta mencalarkan reputasinya selaku seorang wakil rakyat.