SME Bank tangguh bayaran 59 pelanggan terjejas banjir

Iklan
Gambar kecil: NOH OMAR

KUALA LUMPUR - SME Bank memberi penangguhan bayaran selama enam bulan kepada 59 pelanggannya yang terkesan akibat banjir melibatkan nilai pembiayaan sebanyak RM146 juta di bawah Program Bantuan Banjir SME Bank.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, tempoh tamat penangguhan bayaran untuk kesemua 59 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang layak ini adalah pada September 2022.

Iklan
Iklan

"Jumlah usahawan yang terlibat pula mungkin akan bertambah berdasarkan bilangan pelanggan yang mungkin akan terjejas sekiranya berlaku lagi bencana banjir dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan bersama antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan SME Bank pada Rabu.

Noh berkata, SME Bank turut memberikan pengecualian bayaran sewa melibatkan 41 unit kilang usahawan PKS di Kompleks Premis Usahawan SME Bank Shah Alam yang turut terlibat dalam bencana ini.

Iklan

"Inisiatif pengecualian bayaran sewa yang berjumlah RM230,000 ini untuk tempoh selama dua bulan bermula Januari 2022 hingga Februari 2022,” katanya.

Noh berkata, Program Bantuan Banjir SME Bank ini telah dibuka dari 1 Januari 2022 hingga 31 Mac 2022.

Iklan

Katanya, SME Bank turut menawarkan pelbagai bantuan pembiayaan yang bersesuaian kepada keluarga usahawan yang terkesan banjir.

"Tindakan proaktif yang diambil oleh SME Bank dalam menghulurkan bantuan segera kepada usahawan PKS yang terkesan seiring dengan amanat yang diberikan oleh kerajaan.

"Kita mahu agar tiada satu pun mangsa bencana alam ini yang tertinggal daripada menerima sokongan dan bantuan agar mereka dapat kembali bangkit meneruskan perniagaan selepas bencana ini berakhir,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, bank turut menyalurkan sumbangan bernilai lebih RM100,000 melalui kerjasama dengan MEDAC dan Islamic Relief Malaysia (IRM).

Beliau berkata, wang tunai berjumlah RM100,000 tersebut telah diagihkan kepada Tabung Khas Bantuan Usahawan dan Koperasi MEDAC termasuk RM20,000 untuk inisiatif yang dilaksanakan oleh IRM.

Aria berkata anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR) turut bersedia untuk menyalurkan khidmat nasihat tentang penstrukturan semula rancangan perniagaan serta lain-lain latihan pembangunan usahawan yang bersesuaian bagi membolehkan usahawan kembali beroperasi sejurus keadaan kembali pulih. - Bernama