PUTRAJAYA- Golongan remaja di negara ini perlu mencontohi sifat mulia masyarakat Jepun yang memiliki perasaan malu untuk gagal dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata malu merupakan suatu nilai murni yang dipegang rakyat Jepun sehingga berjaya membangunkan negara itu menjadi sebuah kuasa ekonomi selepas musnah dalam Perang Dunia Kedua.
"Untuk dijadikan contoh, kita perlu ikon atau mereka telah terbukti berjaya seperti Jepun yang pernah kalah dan musnah dalam perang kini menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar di belakang negara yang mengalahkannya.
"Dengan memiliki sifat amat malu untuk gagal membuatkan rakyatnya berusaha bersungguh-sungguh menjalankan amanah dan tanggungjawab, sesuatu nilai murni perlu kita contohi untuk berjaya,” katanya ketika melancarkan Program Ikon Remaja Wilayah Persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Dr Mahathir berkata atas faktor itu, kerajaan kini melaksanakan semula Dasar Pandang ke Timur yang pernah dilaksanakan ketika beliau memimpin negara sebelum ini bagi memastikan nilai murni yang dipegang masyarakat negara itu dapat dicontohi dan diamalkan di Malaysia.
Perdana Menteri berkata rasa malu tidak boleh hanya terhad kepada kegagalan dalam peperiksaan tetapi lebih utama jika kegagalan atau sesuatu yang tidak baik dilakukan itu semasa diberi tanggungjawab, terdedah kepada masyarakat.
Beliau berkata remaja yang disemai dengan sifat murni orang Jepun seperti malu untuk gagal, rajin dan bekerja keras mampu menjadi generasi pewaris dalam membangunkan negara ke arah menjadi negara maju pada 2025 seperti disasarkan kerajaan.
"Sebab itu, kita mahu rakyat, khususnya golongan remaja berusia 10 hingga 20 tahun disemai dengan sifat-sifat murni orang Jepun yang pastinya akan membawa kebaikan kepada masa depan negara.
"...yang pasti, perasaan malu untuk gagal boleh menjadi dorongan kepada semua orang bangkit melakukan sesuatu kerja dan amanah dengan lebih baik dan ini terbukti melalui apa dimiliki Jepun ketika ini,” katanya.
Dr Mahathir turut memuji inisiatif dilakukan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi memilih ikon-ikon remaja mengikut kategori tertentu yang tentu akan memberi manfaat besar kepada negara pada masa depan.
Program Ikon Remaja Wilayah Persekutuan diadaptasi daripada Dasar"Youth in Iceland”, dan setelah lebih 30 tahun pelaksanaannya, remaja Iceland kini diiktiraf sebagai paling cemerlang dalam kalangan Indeks Bersih Remaja di Eropah.
Program itu menyasarkan penglibatan 2,000 golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang menetap di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (PA DBKL).
Ia dilaksanakan berdasarkan enam modul melibatkan kerohanian dan sahsiah; kebajikan dan kemasyarakatan; patriotisme dan perpaduan; kesihatan dan rekreasi; kemahiran dan daya kreativiti serta sukan.- Bernama