KUALA LUMPUR - Permohonan bagi pemberian RM500 sekali bayar kepada waris penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (P.J.P.N) dibuka mulai Rabu hingga 30 April depan.
Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass berkata, bayaran berkenaan melibatkan pasangan kepada pesara, bekas serta petugas polis pada era darurat yang berkelayakan.
Beliau berkata, pembayaran itu akan dibuat bermula dari Jun sehingga Disember tahun ini.
"Oleh itu, PDRM meminta waris yang masih belum menerima pemberian itu serta pingat, agar segera mendaftar, mengemas kini maklumat dan memuat naik dokumen sokongan bagi tujuan bayaran sekali bayar terbabit.
"Syarat-syarat permohonan dan kelayakan yang telah ditetapkan boleh dirujuk pada portal rasmi ePesara di pautan https://epesara.rmp.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Zaini berkata, bagi pesara, bekas dan petugas polis era darurat yang masih hidup serta anggota dan petugas polis yang bersara sehingga hujung tahun ini serta berkelayakan, tetapi belum menerima pemberian sekali bayar, mereka perlu mendaftar serta menyemak status permohonan melalui akaun pengguna sistem ePesara masing-masing.
Menurutnya, sebarang pertanyaan dan bantuan, hubungi cawangan Hal Ehwal Pesara Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen atau Ibu Pejabat Polis Daerah berdekatan atau Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis, Jabatan Pengurusan PDRM di talian 03-2266 8387 - Bernama