ALOR SETAR - Tiada keperluan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan berikutan rakyat baharu kembali pulih daripada kemelut berdepan bencana banjir dan pandemik Covid-19.
Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan kos perbelanjaan yang tinggi dan merupakan satu pembaziran.
Menurutnya, peruntukan itu lebih wajar disalurkan untuk membantu rakyat yang masih dibelenggu keperitan hidup atas pelbagai faktor.
"Kita mungkin berhadapan inflasi akibat daripada kenaikan harga barang dan utiliti yang berterusan.
"Ini masa untuk rakyat kembali meningkatkan kualiti kehidupan mereka selepas banjir dan pandemik, bukan masa untuk memilih wakil rakyat,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.
Mohamad Shafiq berkata, beberapa tokoh politik yang rakus kuasa dan mahukan jawatan akibat tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum ini dilihat mula ‘berkokok’ berbanding kerajaan negeri Johor yang lebih bersikap rasional.
"Adakah demi kluster perebutan kuasa dan jawatan, rakyat harus dikorbankan? Mereka sepatutnya berbincang dan beri perhatian kepada usaha pemulihan kluster berkenaan agar mereka boleh berfikir secara logik dengan mengutamakan rakyat, bukan melayani kehendak segelintir individu yang mahukan jawatan,” katanya sinis.
Menurutnya, walaupun Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi bayangan PRN Johor boleh diadakan berdasarkan situasi terkini penularan Covid-19, namun tiada jaminan keadaannya sama seperti PRN sebelum ini.
"Tambahan pula negara sekarang berdepan dengan varian Omicron. Keselamatan rakyat harus diberikan keutamaan buat masa ini,” katanya.
Blok pembangkang di Johor berpendirian pelaksanaan PRN di negeri itu adalah tindakan yang tidak mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri.
Pakatan Harapan (PH) Johor dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sepakat menawarkan komitmen kestabilan kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pula dilapor memberi lampu hijau kepada parti untuk bersiap sedia menghadapi PRN Johor bagi menubuhkan kerajaan yang lebih stabil berbanding majoriti satu kerusi ketika ini.
Pas tidak menolak untuk mencalonkan calon-calon mereka seperti mana pilihan raya sebelum-sebelum ini, meskipun Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang mahu mengambil pendekatan tunggu dan lihat.
Bersatu pula berpandangan tiada keperluan untuk bubarkan DUN bagi membolehkan PRN diadakan, seperti ditegaskan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dilaporkan berkata, adalah tidak sesuai mengadakan PRN Johor pada ketika ini.