JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Batu Pahat menahan seorang pengurus sebuah syarikat disyaki mengemukakan butiran palsu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mendapatkan kerja-kerja membaik pulih jambatan di Yong Peng bernilai lebih RM150,000.
Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 35 tahun itu ditahan di pejabat SPRM di sini pada jam 5 petang Rabu semasa hadir memberikan keterangan.
Difahamkan, suspek telah mengemukakan kebenaran menyertai tender yang mengandungi butiran palsu kepada PBT terbabit bagi mendapatkan kerja-kerja berkenaan pada April tahun lalu.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 (ASPRM 2009).
Sementara itu, dalam kes berasingan, SPRM Batu Pahat menahan seorang warga Bangladesh berusia 34 tahun kerana disyaki menyogok pegawai penguat kuasa sebuah PBT berjumlah hampir RM300.
Suspek lelaki yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit di Skudai melakukan perbuatan itu pada pertengahan bulan ini sebagai dorongan untuk tidak dikenakan kompaun oleh pegawai penguat kuasa terbabit kerana telah menjual arak dan rokok tanpa cukai yang melanggar Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Suspek telah ditahan di pejabat SPRM Johor di sini jam kira-kira 2.30 petang Rabu selepas hadir memberikan keterangan.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 17 (b) ASPRM 2009.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua penahanan terbabit.
Kedua-dua suspek tersebut ditahan selama 24 jam dan akan dibebaskan dengan jaminan SPRM.