Perdana Menteri tidak harus diberi kuasa mutlak lantik KP SPRM

Iklan
Hassan Abdul Karim. Foto Sinar Harian/ Rosli Talib.

SHAH ALAM – Perdana Menteri seharusnya tidak diberi kuasa mutlak melantik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan jawatan itu perlu terjamin dan bukan kontrak.

Itu antara beberapa cadangan reformasi yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim terhadap organisasi berkenaan.

Iklan
Iklan

Hassan menjelaskan, kuasa pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu dikongsi seperti melibatkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

"Perdana Menteri mencadangkan satu nama calon kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ini mesti bipartisan iaitu (terdiri) ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. Mereka yang menyemak, mempertaruhkan dan menapis.

Iklan

"Ini yang dilakukan di negara seperti Amerika Syarikat dan Indonesia. Jika sudah disahkan nama itu oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, serah semula kepada Perdana Menteri dan Perdana Menteri akan kemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Maknanya, Ketua Pesuruhjaya SPRM itu ditapis (dan yang dilantik) orang yang ada integriti. Kalau salah, bukan Perdana Menteri sahaja bersalah tetapi juga Jawatankuasa Khas Parlimen,” katanya ketika menjadi panelis dalam Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Solusi Transformasi SPRM’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Kompas Rasuah Busters membincangkan tajuk Solusi Transformasi SPRM yang diadakan di Kumpulan Karangkraf pada Rabu. Dari kiri moderator, Ismail Adnan; Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Badlishah Sham Baharin; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim. Foto Sinar Harian/ Rosli Talib.

Iklan

Kompas Rasuah Busters ini turut menampilkan Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Badlishah Sham Baharin dan Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Hassan menambah, jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM juga perlu terjamin seperti hakim.

"Jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM mesti bukan kontrak seperti dua, tiga tahun (melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM sebelum ini). Tidak boleh,” tegasnya.

Katanya, apabila jawatan Ketua Pesuruhjaya itu terjamin, individu yang dilantik itu tidak perlu takut kepada sesiapa seperti Perdana Menteri.

"Jawatan dan gajinya terjamin. Kalau bersalah, boleh dijatuhkan seperti kita turunkan hakim melalui Tribunal Khas. Barulah kita ada Ketua Pesuruhjaya SPRM yang berani.

"Individu yang dilantik perlu mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong dan berjanji dengan dengan Tuhan untuk menjaga negara ini. Jadi, reformasi itu boleh dibuat,” jelasnya.